Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengumumkan akan membubarkan sepenuhnya skuad bola sepak mereka merangkumi pemain, kejurulatihan dan pengurusan musim ini bagi memastikan pasukan lebih mantap lagi pada musim hadapan.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Presidennya, Datuk Posa Majais kerana langkah tersebut terpaksa diambil demi memperbaiki segala kelemahan dan prestasi yang buruk dan ianya adalah muktamad.
“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada kesemua pemain-pemain, barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan lepas atas sumbangan diberikan.
“Pada musim hadapan, pasukan akan diperkuatkan oleh pemain-pemain dan barisan kejurulatihan baharu,” katanya dalam satu kenyataan di laman facebook rasmi Sarawak FA.
Tambah Posa, beliau juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada kesemua penyokong skuad Ngap Sayot atas sokongan sepanjang musim ini.
“Kepada kesemua penyokong-penyokong pasukan bolasepak Sarawak, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih di atas sokongan anda semua sepanjang musim. Kita akan kembali dengan lebih baik lagi untuk musim depan.” ujarnya
Dalam perkembangan lain, Posa turut menafikan dakwaan sebuah portal bola sepak dari Sarawak yang mengatakan pasukan itu sedang menanggung hutang yang tinggi.
“Saya selaku Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak dengan ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis artikel berkenaan.
“Dakwaan yang terkandung di dalam artikel tersebut merupakan fitnah yang dilemparkan kepada saya secara terang dan ini juga dilihat sebagai satu usaha mereka untuk memberi nama buruk kepada FAS.
“Setelah mendapat nasihat peguam, kali ini saya tidak teragak-agak mengambil tindakan rasmi terhadap penulis tersebut yang telah kami kenal pasti”, tegasnya.