Pasukan Liga Super, Selangor telah mengambil keputusan untuk melakukan penstrukturan semula gaji yang merangkumi pemain dan juga pegawai skuad Gergasi Merah.
Menurut laporan Harian Metro, Setiausaha Agung FAS iaitu Dr Johan Kamal Hamidon mengatakan yang keputusan itu dibuat untuk mengawal implikasi yang dialami oleh mereka hasil dari isu wabak Covid-19.
“Kami membuat penyelidikan teliti sebelum mengambil keputusan untuk melaksanakan pemotongan gaji.”
“Tiadanya kutipan tiket dari hari perlawanan yang merupakan hasil utama pasukan serta penaja meminta untuk menangguhkan bayaran kepada pasukan membuatkan keputusan ini terpaksa diambil.”
Menurut Johan, sebanyak 60% daripada kalangan pemain dan juga pegawai bersetuju dengan keputusan ini walaupun selebihnya tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.
Pemotongan gaji dilakukan mengikut tangga gaji serta status perkahwinan pemain dan pegawai tersebut.
Sebanyak 3-33% potongan gaji dilakukan FAS dengan hanya 5% daripada keseluruhan pemain dan pegawai yang gajinya dipotong sebanyak 25% dan ke atas.
Pemotongan gaji ini akan dilaksanakan selama enam bulan berkuatkuasa bulan Mei hingga November.
“Keputusan untuk memotong gaji ini dilakukan dan jika tindakan ini tidak diambil, kami akan rugi RM 2.9 juta.”
Johan turut mengatakan yang seandainya kerajaan Malaysia menarik balik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pihak Malaysian Football League memberikan kebenaran untuk menjual semula tiket perlawanan, maka pihak FAS tiada masalah untuk membayar gaji secara penuh kepada semua yang terkesan.
Ia juga akan disokong dengan penaja korporat pasukan kembali menyalurkan penajaan kepada mereka.