FAS Guna Saluran Betul Dapatkan Graduan AMD, Tiada Isu ‘Pintu Belakang’

Selepas Selangor berjaya ‘memborong’ 28 orang pemain daripada kumpulan pertama graduan Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), kini timbul isu yang dimainkan segelintir pihak yang mendakwa Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menggunakan taktik kotor.

Stadium Astro dalam laporannya melaporkan isu tersebut mula menjadi pertikaian selepas pihak FAS didakwa menggunakan pengaruh individu tertentu untuk mendapatkan pemain-pemain berkenaan termasuk beberapa ‘nama besar’ seperti Sikh Izhan Nazrel, Harith Haikal dan Hariz Mansor.

Bagaimanapun Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon menegaskan pihaknya telah menggunakan saluran yang betul dan tidak timbul isu menggunakan ‘pintu belakang’ untuk mendapatkan semua pemain tersebut.

“Apa yang kami buat ini adalah apa yang kami rasakan terbaik buat pasukan Selangor dan paling penting, pemain muda-muda ini.

“Kami mempunyai perancangan buat mengetengahkan pembangunan mereka.

“Sebab itulah kami menaik taraf infrastruktur dan kemudahan,” katanya.

Timbul persoalan dan kebimbangan dalam kalangan pemerhati bola sepak di manakah semua 28 pemain tersebut akan ditempatkan dalam pasukan Selangor.

Hal ini kerana banyak pihak berpendapat semua pemain berkenaan sewajarnya diberi peluang untuk mendapatkan sebanyak mungkin minit permainan bagi memastikan potensi mereka terus berkembang.

Dr. Johan menjelaskan secara realistiknya, sekiranya pemain-pemain itu menyertai akademi pasukan lain, belum tentu ada jaminan mereka semua akan dapat bermain.

“Mereka masih berusia 18 tahun dan boleh (diserapkan dalam) skuad Piala Belia, malah mereka juga (setahun lebih muda) dalam Piala Presiden.

“Kalau pemain AMD memang berbakat, maka mereka boleh merebut slot dalam kesebelasan skuad B-23,” katanya lagi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar dalam kenyataannya kepada Berita Harian mengatakan, FAS telah pun mengambil risiko untuk mengambil sebahagian besar pelatih akademi elit itu.

Menurut beliau, dalam bola sepak tiada jaminan pemain yang memasuki pentas profesional akan terus berkembang dengan baik sehingga mampu menjadi pemain profesional sekaligus menembusi skuad utama.

Situasi tersebut boleh dilihat dalam setiap akademi termasuk pasukan handalan di Eropah di mana setiap musim hanya segelintir pemain yang benar-benar menyerlah sahaja diserap ke pasukan utama.

“Kita harus ingat mereka baru berusia 18 tahun dan bukan semuanya akan dilonggokkan untuk beraksi bersama Selangor II. Mungkin hanya terbaik dalam kalangan mereka akan beraksi bersama pasukan ‘feeder’ itu.

“Selebihnya, masih ada tempat dalam skuad Piala Belia dan Piala Presiden. Di sini, apa yang lebih mustahak adalah mereka terus beraksi secara kompetitif untuk mengembangkan lagi potensi mereka,” kata Safirul.

Kredit Foto: Safirul Abu Bakar

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN