Quantcast

LIGA MALAYSIA

FAS Kekalkan B. Sathianathan Selepas Prestasi Memuaskan

FAS berpuas hati dengan pencapaian jurulatih B. Sathianathan pada musim 2019, meskipun beliau gagal membimbing Selangor mara ke final dan juga menjulang sebarang trofi domestik.

Selangor disingkirkan oleh JDT daripada separuh akhir Piala Malaysia. Ia adalah perlawanan penutup kempen mereka pada musim ini.

Menurut Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal, Sathianathan telah berjaya membantu Selangor menamatkan kempen ini dengan pencapaian memuaskan, walaupun dengan dana yang terhad diberikan kepada beliau.

Johan Kamal mengesahkan FAS akan terus mengekalkan B. Sathianathan untuk sekurang-kurangnya semusim lagi.

Bercakap kepada Stadium Astro, Dr. Johan Kamal berkata:

“Jika dilihat daripada segi perbelanjaan yang tidak begitu besar, kami mengatasi beberapa pasukan yang berbelanja lebih besar.”

FAS

“Bagi kami, ia satu kejayaan.”

“Kalau dilihat daripada segi jaringan gol, kami berada di tangga kedua di belakang JDT (Johor Darul Ta’zim).

“Jadi, daripada aspek serangan, Selangor masih antara yang terbaik dalam liga. Komponen yang perlu diperbaiki adalah pertahanan kami,” tambah beliau lagi.

FAS berikrar akan terus memberikan sokongan kepada B. Sathianathan. Antaranya dengan membantu jurulatih tersebut mendapatkan beberapa muka baru ke dalam pasukan.

FAS sudah mengenalpasti beberapa pemain yang mahu dibawa masuk bagi memperkuatkan Gergasi Merah pada musim hadapan.

4 pemain import Selangor sudah setuju dengan lanjutan kontrak di Shah Alam. FAS berpuas hati dengan prestasi kesemua pemain import mereka yang sedia ada.