Quantcast

BERITA

FAS Harap Segala Keputusan Mesyuarat Rakan Kongsi MFL Bakal Lonjakkan Imej Liga Malaysia

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Dr Johan Kamal Hamidon berharap apa jua perubahan yang akan berlaku pada Mesyuarat Rakan Kongsi Liga Malaysian Football League (MFL) Ke-3 pada Sabtu ini, akan melonjakkan lagi imej Liga Malaysia.

Jelasnya, MFL setakat ini sudah melaksanakan tugas dengan baik dalam menguruskan saingan liga bola sepak tempatan untuk lebih kompetitif dan sudah pasti lebih banyak yang perlu dilakukan pada musim depan.

“Saya harap semasa kongres nanti, perkara yang berkaitan dengan masa depan bola sepak tempatan dapat dibincangkan dengan baik di mana MFL boleh mengeluarkan polisi-polisi yang lebih progresif dan terbuka.

“Apa pun perubahan yang akan berlaku, objektif utama tetap untuk kebaikan liga bola sepak kita yang turut melibatkan aspek pembangunan juga di mana semua pihak perlu terus memberi idea dan cadangan dengan lebih terbuka untuk kita perbaiki lagi segala kelemahan yang masih ada dalam perjalanan liga,” jelasnya.

Menyentuh mengenai penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia, FAS juga melahirkan rasa teruja menanti tawaran dan pakej yang akan diumumkan menerusi rakan kongsi MFL, Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC).

FAS juga tiada masalah memberikan apa jua pandangan serta idea melibatkan hak penyiaran liga bersama-sama MFL untuk turut sama membantu projek ini kerana ia juga menjadi tanggungjawab setiap pasukan untuk bekerja keras tarik perhatian penyokong.

“Pastinya kami sangat teruja untuk tahu butiran pakej dan tawaran itu dan pihak FAS juga berharap dapat diberi peluang untuk memberi pendapat berkaitan hak penyiaran itu kerana ia turut melibatkan penyokong pasukan kita sendiri.

“Jadi, bukan sahaja penyokong, malah pasukan-pasukan lain juga dapat diberi pemahaman sebaiknya untuk kita sama-sama menyokong projek berkenaan khususnya daripada segi promosi dan sebagainya,” katanya.