Farizal Harun Taja Away Day Untuk Hargai Sumbangan Penyokong Selangor

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini telah mencapai kata sepakat untuk menjatuhkan beberapa hukuman terhadap penjaga gol mereka, Farizal Harun susulan beberapa insiden yang membabitkannya pada bulan lepas.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu mencetuskan kontroversi apabila bertindak menumbuk muka pemain tengah PKNP FC, Mohamad Al-Fateh Afandi di Stadium Manjung bulan lepas dan tindakan beliau dianggap keterlaluan serta tidak profesional.

Malah, sikap panas baran Farizal juga tidak disenangi oleh penyokong-penyokong Red Giants. Sebelum ini Farizal turut dikatakan bertindak memaki hamun penyokong sendiri ketika Selangor berkunjung ke Melaka dan Terengganu bulan lalu.

Justeru itu, FAS dalam kenyataan media memutuskan untuk menjatuhkan hukuman program khidmat masyarakat dan sumbangan kepada penyokong sebagai usaha memberi kesedaran dan memperbaiki sikap profesional para pemain.

“Pertama sekali, FAS telah memutuskan untuk Farizal menjalani program khidmat masyarakat dalam klinik bola sepak sebagai jurulatih penjaga gol untuk anak-anak muda di sekitar Selangor.

“Keduanya, beliau telah bersetuju untuk mengikuti sesi kaunseling bersama pakar yang akan dikenalpasti dalam masa terdekat.

“Tambahan daripada denda yang telah dikenakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepadanya, kos-kos berkaitan dengan kesemua perkara di atas akan ditanggung sepenuhnya oleh Farizal,” kata kenyataan tersebut.

Selain itu, Farizal turut mengambil inisiatif menaja kos perjalanan bas dan tiket perlawanan bagi 30 penyokong untuk perlawanan menentang Felda United dan 30 penyokong bagi perlawanan menentang Perak.

60 penyokong setia gergasi merah ini akan dipilih oleh FA Selangor berdasarkan rekod kehadiran mereka bersama program Away Day FAS sebelum ini.

“Beliau berharap sumbangan ini dapat memberi peringatan kepadanya tentang pengorbanan para penyokong untuk pasukan yang mereka cintai.

“Semoga pendekatan yang lebih membina dan konstruktif ini dapat meningkatkan tahap profesional para pemain Selangor dan mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini dari berulang lagi pada masa hadapan,” petikan daripada kenyataan rasmi di laman web FA Selangor.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN