Bekas penjaga gol skuad kebangsaan, Farizal Harun kecewa dengan tindakan pihak pengurusan FELDA United mengugurkan namanya daripada senarai pemain untuk musim depan sambil menyifatkannya sebagai tindakan tidak professional.
Beliau yang mengalas tugas selaku penjaga gol utama musim ini berkata pihak pengurusan sepatutnya berbincang terlebih dahulu sebelum menamatkan kontraknya.
“Saya terkejut apabila nama digugurkan pada 8 November lalu biarpun saya tidak memberitahu hasrat untuk berundur.
“Lebih elok sekiranya mereka berbincang dengan cara baik agar saya lebih bersedia untuk mencari pasukan lain,” katanya kepada Kosmo.
FELDA United lambat buat keputusan mengenai masa depan pemain
Malah Farizal turut mengkritik tindakan pihak pengurusan FELDA United yang lewat membuat keputusan mengenai kontrak pemain bagi membolehkan pemain memikirkan hala tuju yang seterusnya.
“Saya rasa kecewa kerana tindakan ini bagaikan tidak berbaloi jika diambil kira dengan komitmen yang saya berikan sejak 2014,” ujarnya.
“Saya bukan sahaja terpaksa mencari pasukan baharu, malah perlu bersaing untuk menempatkan diri sebagai penjaga gol utama,” jelasnya.
Penstrukturan semula bajet punca FELDA United gugurkan ramai pemain
Difahamkan, penstrukturan semula bajet skuad The Fighters pada musim depan menjadi salah satu faktor beberapa pemain digugurkan.
Terdahulu, pemotongan gaji ketua jurulatih FELDA United, B. Sathianathan sehingga 60 peratus memaksa bekas jurulatih skuad kebangsaan itu mengucapkan selamat tinggal kepada FELDA United pada musim hadapan.
Pencapaian pada musim ini menyaksikan Sathianathan berjaya membawa kembali skuad The Fighters itu kembali beraksi dalam saingan Liga Super musim hadapan selepas ‘diturunkan pangkat’ susulan kegagalan mendapatkan lesen Liga Super.