Pemain sayap kelahiran Singapura, Muhamad Faris Ramli mengakui bahawa nasib tidak menyebelahi skuad Terengganu FC (TFC) walaupun kelab tersebut disifatkannya sebagai pasukan yang baik.
Berpengalaman luas dalam kancah bola sepak di Malaysia, Faris turut melihat pasukan yang baharu sahaja disertainya itu memiliki kualiti hebat untuk muncul sebagai juara.
“Saya sudah bermain selama lima musim di Liga M dan akui TFC memang satu pasukan yang bagus serta memiliki reputasinya yang tersendiri.”
“Cuma mungkin mereka belum bertuah untuk memenangi sebarang juara seperti di tahun 2018 di mana mereka sudah mara ke peringkat akhir Piala Malaysia dan hampir memenangi piala berkenaan daripada Perak,” ujar Faris bercakap kepada wakil Bernama.
“Sebelum datang ke sini (Terengganu) saya telah menyaksikan banyak perlawanan TFC untuk melihat corak permainan yang diterapkan dan ia menepati citarasa saya,”
Meskipun hanya menyertai skuad TFC dalam masa yang singkat, pemain sayap berusia 27 tahun itu kelihatan sudah mula mencuri tumpuan pengendali pasukan, Nafuzi Zain. Begitu juga dengan Nasir Basharudin dan D. Saarvindran.
Selain beraksi bersama LionsXlll yang muncul juara Liga Super 2013 dan Piala FA 2015 , Faris turut pernah menyarung jersi Kelab Bolasepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) selama semusim sebelum kembali semula ke Singapura pada musim lalu untuk bersama Hougang United.
TFC yang baharu sahaja menewaskan Madura United 2-0 pada aksi pra-musim di Kuala Terengganu malam tadi akan memulakan saingan Liga Super 2020 dengan menanti kunjungan Perak di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 29 Februari nanti.
Kredit foto: Terengganu FC