Quantcast

BERITA

Faris Ramli Bakal Sertai Skuad The Bos Gaurus?

Pemain sayap skuad kebangsaan Singapura, Faris Ramli yang juga bekas pemain PKNS FC kini menjadi sasaran pasukan Perak untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan itu dalam perlawanan yang seterusnya.

Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) bagaimanapun menafikan pihaknya memburu seorang lagi pemain Singapura, Khairul Amri Mohammad Kamal yang semakin hampir menyertai FELDA United.

Menurut Setiausaha Kehormat Persatuan PAFA, Tajul Hasnan Omar, perbincangan dengan kelab Liga Singapura, Hougang United sedang berjalan bagi mendapatkan khidmat Faris bagi mengisi kuota pemain import Asia Tenggara.

“Kami menginginkan khidmatnya kerana kuota pemain import kami masih ada satu kekosongan.

“Selepas diselidik, Faris Ramli sesuai dengan corak permainan kami,” katanya dalam Stadium Astro

Faris Ramli pernah beraksi bersama pasukan PKNS FC. FOTO: PKNS FC

Faris Ramli dianggap pemain sayap yang lincah dan mampu menjaringkan gol. Musim lalu beliau mencetak 14 gol dalam saingan Liga Singapura. Pemain 27 tahun ini turut dilamar oleh pasukan Perlis musim ini namun perpindahan itu tidak menjadi kenyataan.

Bulan lalu, jaringan tunggal beliau pada lewat permainan membantu Singapura mengecewakan skuad negara selepas menang 1-0 pada aksi separuh akhir Piala AIRMARINE 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain itu, penyerang import pasukan Perak, Gilmar Da Silva kemungkinan akan ditamatkan kontrak selepas mengalami kemerosotan prestasi sehingga mengundang pelbagai kecaman dan kritikan daripada penyokong.

Perak akan bertemu PKNP FC di Ipoh untuk aksi suku akhir kedua Piala FA, Sabtu ini bagi memburu tiket ke peringkat separuh akhir menentang Pahang atau Terengganu FC.