Fantasy Football SCL2018: 5 Pemain Yang Perlu Berada Dalam Pasukan Anda Minggu 11 (Separuh Akhir)

Fantasy Football

Saingan Selangor Champions League 2018 (SCL2018) semakin menghampiri penghujung setelah aksi sudah memasuki peringkat separuh akhir yang akan berlangsung malam esok.

Perebutan untuk menjadi pemenang hadiah keseluruhan Fantasy Football SCL2018 yang bernilai RM2000 serta hadiah mingguan Rm500 berserta jersi eksklusif tajaan Kaki Jersi juga begitu mendebarkan.

Kedudukan tiga tempat teratas juga menyaksikan persaingan sengit apabila jurang mata yang sedikit dapat dilihat.

Kedudukan 10 pasukan teratas yang memburu hadiah utama.

Para pemain Fantasy Football SCL2018 juga sudah pasti menghadapi kesukaran untuk membuat pilihan pemain apabila hanya empat pasukan sahaja yang bersaing ketika ini.

Berikut adalah lima pemain yang boleh anda pertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam pasukan anda:

1) Ismail Mamat (NPNG FC Damansara Damai) – 6.0

Pemain sayap kiri kelahiran Terengganu ini mencuri tumpuan pada aksi suku akhir minggu lalu apabila berjaya mencipta satu jaringan dan satu bantuan gol rakan sepasukannya.

Beliau mempunyai larian yang deras dari sebelah tepi dan mampu untuk memberikan kesukaran buat barisan pertahanan lawan untuk menghalang kemaraannya.

Bekas pemain DRB Hicom ini telah mencipta tiga jaringan dalam enam perlawanan yang dilaluinya.

2) Haiqal Johari (NPNG FC Damansara Damai) – 8.0


Pemain muda ini berperanan dengan cukup baik di bahagian sayap kanan buat NPNG FC Damansara Damai.

Usia mudanya langsung tidak menyentap semangat serta mengganggu corak permainan baik yang dipamerkan Haiqal.

Dalam aksi suku akhir bertemu MPKj The Lions, Haiqal berjaya menjaringkan satu gol bagi membantu kemenangan 3-0 yang dicatatkan.

Sekiranya pertahanan Puchong Fuerza memandang rendah ancaman yang bakal diberikan Haiqal pada perlawanan esok, ia bakal menghadirkan bahaya buat mereka.

Beliau sudah mencipta empat jaringan dan satu bantuan gol dalam enam perlawanan.

3) Gabriel Alloysius Sunday (Puchong Fuerza) – 6.0

Sekali lagi nama beliau tersenarai dalam pemain yang perlu dipertimbangkan oleh anda untuk dimasukkan ke dalam pasukan.

Kecekapan menghalang Duta ZXiV dari menjaringkan sebarang gol serta menafikan tiga sepakan penalti dalam aksi suku akhir minggu lalu sudah cukup untuk menceritakan sebabnya.

Harus diingat juga, Gabriel hanya dibolosi satu jaringan dalam tujuh perlawanan yang telah dilaluinya buat Puchong Fuerza.

Bertemu NPNG FC Damansara Damai dalam saingan separuh akhir, Gabriel berpeluang untuk terus membuktikan kecemerlangannya. Tambahan pula beliau mendapat sokongan pertahanan Puchong Fuerza yang begitu kental bertahan.

4) Phillip Abbah Eugine (Kajang AZS) – 9.0

Phillip merupakan penjaring terbanyak SCL2018 setakat ini dengan 11 gol yang telah dihasilkannya. Tidak keterlaluan bagi mengatakan beliau adalah pemain yang wajib untuk berada dalam pasukan anda.

Beliau berada dalam mood yang cukup baik untuk terus membolosi gawang lawan apabila Phillip masih segar dengan kejayaan menjaringkan dua gol dalam saingan separuh akhir Klang Valley League tempoh hari.

Sentuhan berbisa dimiliki bakal menjadi sandaran utama buat Kajang AZS bagi berdepan sebuah pasukan yang cukup ‘liat’ dalam saingan kali ini iaitu KRU Port Klang FC.

Kombinasi menarik bersama ‘Mido’ akan lebih memudahkan tugasan Phillip untuk terus mencipta jaringan.

5) Huzaini Ikhram (KRU Port Klang FC) – 6.0

Penyerang KRU Port Klang FC ini muncul wira buat pasukannya selepas jaringan tunggal dihasilkan beliau pada minit ke-63 telah menyingkirkan juara bertahan Axis-O2 PJ FC daripada persaingan.

Beliau dilihat sebagai seorang pemain di bahagian serangan yang lincah dalam mencipta gerakan serta turut mempunyai penyudah yang klinikal.

Dibantu rakan sepasukan yang mampu untuk bekerjasama dengan cukup baik, Huzaini akan menjadi duri dalam daging buat Kajang AZS pada pertemuan separuh akhir nanti.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN