Aksi peringkat kumpulan Selangor Champions League 2018 semakin ke penghujung apabila hanya tinggal dua perlawanan buat 12 pasukan manakala 5 pasukan pula hanya berbaki satu perlawanan untuk dihadapi menjelang saingan kalah mati.
Disebalik perebutan tempat ke saingan kalah mati, para pemain Fantasy Football SCL2018 juga sedang bersaing hebat untuk merebut hadiah utama berupa wang tunai bernilai RM2,000 serta hadiah mingguan RM500 beserta jersi eksklusif dari Kaki Jersi.
Pemain tengah kreatif NPNG FC Damansara Damai, Lukhman Noor Hakim kini merupakan penyumbang mata tertinggi dengan 61 mata selepas mengharungi 7 perlawanan.
Sudah pasti kelibat Lukhman perlu berada dalam pasukan anda setelah beliau begitu konsisten memungut mata berharga.
Dalam pada itu, terdapat 5 pemain yang anda boleh pertimbangkan untuk berada dalam pasukan anda:
1) Muhd Haiqal Johari (NPNG FC Damansara Damai) – 8.0
Pemain sayap berusia 20 tahun mencuri tumpuan penulis dengan kelincahan dan ketenangan dalam corak permainan yang dipamerkan.
Tiga perlawanan terakhir buat NPNG FC Damansara Damai menjadi antara detik hebat buat Haiqal setelah beliau berjaya menjaringkan 2 gol serta mencipta satu bantuan jaringan.
Beraksi bersama rakan sepasukan yang mempunyai kualiti yang cukup baik, ia memudahkan tugas Haiqal untuk terus menjadi sebagai antara ancaman buat Klang Valley United pada hujung minggu ini.
2) Nik Mohd Syukri Nik Wil (Gombak Hypernova FT) – 6.0
Walaupun Gombak Hypernova FT kini sekadar menghuni tangga terbawah kumpulan B, aksi yang dipamerkan pasukan ini sebenarnya cukup baik. Mungkin pengalaman serta fokus yang sedikit mengecewakan.
Nik Mohd Syukri hanya diturunkan dalam tiga perlawanan, namun sumbangan yang diberikan pemain berusia 30 tahun ini begitu berkesan.
Nik berjaya menghasilkan gol pada setiap kali beraksi dengan aksi terakhir bertemu CABJ, beliau berupaya mencipta dua jaringan walaupun Hypernova FT tewas 4-3 pada perlawanan tersebut.
3) Gabriel Alloysius Sunday (Puchong Fuerza FC) – 6.0
Penjaga gol kelahiran Nigeria ini bertindak cemerlang apabila beliau masih belum dibolosi sejak membuat penampilan pertama ketika bertemu Paya Jaras Hiliran dan meneruskan rentetan kekebalan tersebut sehingga empat perlawanan terakhir.
Melihat kepada aksi yang dipersembahkan, Gabriel sememangnya merupakan seorang penjaga gol yang tangkas bagi menghalang gawangnya dari dibolosi pihak lawan.
Mendapat bimbingan jurulatih, Nazrulerwan Makmor yang terkenal sebagai seorang pertahanan kental di Liga Malaysia pada satu ketika dahulu serta mendapat bantuan pertahanan yang begitu berdisiplin, Gabriel dijangka dapat meneruskan kecemerlangannya pada aksi bertemu Akademi Bolasepak Merah Kuning (ABMK) nanti.
4) Mohd Fauzi Adnan (MPKj The Lions) – 6.0
Kapten berpengalaman ini telah menjaringkan 4 gol buat MPKj The Lions yang kini sedang mengintai peluang untuk melayakkan diri ke peringkat kalah mati.
Beraksi pada kesemua lima perlawanan setakat ini, Fauzi akan terus menjadi sandaran buat skuad dari Kajang itu bagi menggerakkan jentera tengah pasukan.
Beliau berjaya mencatatkan 31 mata pada dua perlawanan terakhir dengan 3 jaringan serta satu bantuan gol yang dicipta.
5) Al Amin Abdullah (Puchong Fuerza FC) – 6.0
Merupakan antara pemain pertahanan yang memungut mata tertinggi serta turut membantu Puchong Fuerza tidak dibolosi pada 4 perlawanan terakhir.
Beliau juga berupaya menghasilkan dua bantuan jaringan dan sentiasa memberikan bantuan di bahagian serangan ketika situasi bola mati.
Dijangka beliau dan rakan sepasukan di jentera pertahanan dapat mengekalkan disiplin yang cukup tinggi dalam usaha menghalang ABMK mencalarkan rentetan rekod tanpa dibolosi Puchong Fuerza.
Foto: ligakita.my