Pengendali Sri Pahang, Fandi Ahmad tampil dengan pendedahan mengenai keadaan serangan mereka yang dilihat kurang berfungsi sejak awal musim saingan Liga Malaysia (Liga M).
Walaupun memiliki beberapa pemain serangan berkaliber, setakat ini Sri Pahang menjadi antara pasukan masih tumpul untuk mendapatkan kualiti penyudah.
Musim ini turut menyaksikan Tok Gajah membuat beberapa rombakan terutama membabitkan aspek serangan dalam usaha untuk memperbaikinya menjadi lebih baik berbanding tahun lalu.
Kehadiran Mykola Ahapov, pemain muda Harimau Malaya iaitu T. Saravanan, serta Manuel Hidalgo nyata masih belum cukup untuk memastikan serangan Sri Pahang tampil lebih mencengkam.
Rekod jaringan menyaksikan Sri Pahang kini telah meledak empat gol daripada empat perlawanan dan secara keseluruhan posisi serangan pasukan itu masih dikritik penyokong Tok Gajah.
Menurut Fandi, faktor keyakinan setiap pemain yang lemah menjadi punca kenapa Sri Pahang sebelum itu gagal untuk memanfaatkan banyak peluang terhidang di hadapan gawang gol lawan.
Disebabkan itu Sri Pahang kini gagal untuk menempatkan diri di kedudukan lebih baik sekali gus berada pad prestasi diperlukan oleh beliau serta kejurulatihan lain.
“Pemain agak kurang yakin kerana peluang memang ada tetapi penyudah tidak tepat menyebabkan Sri Pahang tidak dapat memberi tekanan kepada lawan.
“Atas faktor itu tempoh tiga minggu tanpa perlawanan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memastikan jentera serangan lebih padu pada perlawanan akan datang,” kata Fandi menerusi laporan daripada Berita Harian.
Pada masa sama, Fandi mengakui prestasi semasa pasukan mungkin akan terjejas selepas mereka berehat dalam tempoh agak lama demi memberi laluan buat saingan Piala FA.
Untuk itu, pengendali dari Singapura tersebut menuntut para pemain supaya lebih bekerja keras untuk mengekalkan momentum semasa mereka menjelang aksi akan datang.
“Sudah pasti ia mengganggu terutama tempoh panjang tanpa perlawanan yang memerlukan semua pemain bekerja keras untuk pasukan memberikan persembahan meyakinkan apabila kembali beraksi Sabtu ini.
“Perlawanan terakhir ialah ketika tewas 3-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 22 Jun lalu dan Sri Pahang perlu kekal cergas,” kata Fandi akhir sekali.