Pengendali utama Sri Pahang, Fandi Ahmad jelas gembira dengan kemenangan sulung dilakar mereka bagi saingan pertama Liga Super 2024/2025 yang telah berlangsung di Stadium Mini Temerloh.
Apa tidaknya, ia merupakan kemenangan pertama selepas tempoh empat tahun bagi aksi pembukaan Liga Super buat Sri Pahang dan kelab itu berjaya mengetepikan cabaran Kelantan Darul Naim (KDN) menerusi keputusan 1-0 hasil ledakan Manuel Hidalgo.
Menurut Fandi, beliau akui persembahan pasukannya kurang memberansangkan terutama sekali pada tempoh separuh masa pertama sambil tidak menafikan kualiti permainan pasukan lawan sedikit berbahaya.
“Alhamdulillah, kita pada separuh masa pertama agak kurang sikit dengan lawan cuba matikan gerakan pemain tengah dan banyak tekanan diberikan.
“Mereka ada bahaya tersendiri, tapi daripada segi peluang mereka tak ada satu pun selepas kita menutup dengan baik. Tetapi yang penting, hari ini kita ada disiplin sangat bagus dengan Saiful Jamaluddin berperanan baik di posisi tengah.
“Dia ibarat wiper, bersihkan segalanya. Yalah, mereka tukar formasi asal daripada 4-3-3 kepada 4-2-2, jadi dua pertahanan kita terikat dengan dua serangan mereka. Maka Saiful yang banyak selamatkan keadaan di situ.
“Pastinya saya lebih gembira di babak kedua kerana kita bermain sangat baik tetapi lebih banyak perlu diperbaiki,” jelas Fandi seusai perlawanan tamat.
Pada masa sama, pengendali dari Singapura itu turut mengakui para pemainnya seolah tidak bersedia beraksi, seolah memerlukan lebih waktu untuk menyesuaikan diri di atas padang menghadapi lawan.
Selain itu, Fandi mengakui masih membuat eksperimen ke atas skuad Tok Gajah dengan alasan kurang mendapat pendedahan terbaik pada pramusim kali ini jika dibandingkan tahun lalu.
“Saya masih buat kerana sebab pertama tahun ini di bulan puasa kita tak dapat bermain dengan pasukan lebih baik seperti tahun lalu apabila kita menentang empat pasukan Korea Selatan di Thailand.
“Kecuali pada tahun ini kita tak dapat perkara tersebut kerana bulan puasa jadi susah nak dapat pasukan lawan serta kelapangan bermain.
“Jadi kadang-kadang kita pergi ke AMD dan menentang pasukan-pasukan tempatan di sini, jadi itu masalah yang kita hadapi ketika ini daripada segi kombinasi permainan,” ulas Fandi lagi.
Untuk perlawanan seterusnya, Sri Pahang bakal menghadapi cabaran daripada Kuching City di gelanggang lawan dalam misi mereka untuk cuba mendapatkan tiga mata kedua bagi saingan Liga Super 2024/2025.