Semalam PFAM telah mengeluarkan kenyataan pedas berkenaan dengan tunggakan gaji yang dialami oleh ramai pemain. PFAM juga mendedahkan nama-nama pasukan yang masih berhutang.
FAM menganggapp kenyataan PFAM itu sebagai tidak bertanggungjawab dan mengganggu usaha dalam menyelesaikan masalah.
Dipetik daripada laman FAM, ini adalah kenyataan media mereka menerusi Stuart Ramalingam – Setiausaha Agung FAM:
Kenyataan PFAM Tidak Bertanggungjawab, Takkan Selesaikan Masalah Dan Tidak Adil Kepada Pasukan Yang Sedang Berusaha Selesaikan Tunggakan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini ingin membidas kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi ketua pegawai eksekutifnya, Izham Ismail, semalam bertajuk ‘BALA RM6.4 JUTA’ iaitu berkaitan masalah tunggakan gaji pemain.
PFAM tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang bersifat umum dan menyeluruh seperti itu kerana ia sama sekali satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan tidak adil dalam menjelaskan mengenai keadaan sebenar isu tunggakan gaji bagi sesetengah pasukan yang disebut mereka itu.
Untuk makluman, tidak semua pasukan yang dinyatakan itu langsung tidak bertanggungjawab dalam menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan dan kenyataan secara umum yang dibuat itu sesuatu yang tidak profesional dan sudah tentu tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah.
Malah itu jelas bertentangan dengan segala usaha yang telah ditunjukkan oleh sesetengah pasukan itu dalam menyelesaikan tunggakan gaji berkenaan secara baik dengan pemain mereka mahu pun menerusi PFAM sendiri.
Beberapa pasukan yang disebut nama mereka dalam kenyataan PFAM itu telah menghubungi saya untuk menyatakan kekesalan mereka terhadap tuduhan dan dakwaan tersebut.
Mengenai tuduhan terhadap Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), rekod FAM mendapati bahawa PBNS tiada sebarang kes sama ada dengan FAM atau pun Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) pula tidak mempunyai sebarang kes dengan FAM berhubung tunggakan gaji pemain, cuma hanya satu kes yang dibawa ke FIFA, namun pembayaran tunggakan gaji itu sudah pun diselesaikan.
Jika ada pun kes tunggakan gaji lain membabitkan PBNP, ia mungkin sama ada tidak dilaporkan atau masih belum diputuskan keputusannya oleh FAM atau FIFA.
Bagi Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), hanya tiga kes tunggakan gaji yang masih belum selesai dan menanti keputusan iaitu kes FAM membabitkan G Puaneswaran serta dua kes FIFA membabitkan Tiago Gomes dan Lee Chang-hoon. Sementara satu lagi kes FIFA membabitkan Omid Nazari telah pun mencapai persetujuan pembayarannya.
Meskipun semua maklum bahawa MUSA kini berdepan masalah kewangan, namun tiada satu pun kes tunggakan gaji pemain mereka dilaporkan kepada FAM setakat ini dan tiada kes baharu dilaporkan kepada FIFA.
Persatuan Bolasepak PDRM pula memaklumkan kepada FAM yang mereka telah pun membayar tunggakan gaji pemain PDRM bagi tahun 2018 pada Februari lalu.
Mereka telah berbincang dengan Malaysian Football League (MFL) berkenaan penyelesaian tunggakan gaji tahun 2018 itu dan pihak MFL telah bersetuju bekerjasama dalam menyelesaikan isu tunggakan gaji berkenaan menerusi pemotongan geran tahunan persatuan itu.
Bagi FAM, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dan juga Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) kini di bawah pengurusan baharu yang sedang berusaha untuk menstabilkan semula kewangan persatuan masing-masing dan sama sekali tidak mengabaikan tanggungjawab untuk menyelesaikan tunggakan gaji pemain, berbanding pengurusan terdahulu.
Adalah tidak adil untuk menuduh mereka sebagai tidak berperikemanusiaan terhadap pemain yang tertunggak gajinya itu kerana mereka baru saja mengambil alih persatuan masing-masing iaitu PFA pada Mei lalu manakala KAFA pada Julai lalu.
Sebagai badan induk yang memayungi ahli gabungan bola sepak tempatan, FAM menggesa agar PFAM berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh disalah tafsir serta menimbulkan persepsi negatif terhadap sesama pemegang taruh, termasuk badan-badan yang mungkin ada kaitan dengan institusi keselamatan dan unit berseragam kerajaan.
Dalam pada itu, berhubung kes membabitkan pasukan yang telah ditutup seperti Marcerra United FC, Kuantan FA, Hanelang FC dan juga Terengganu City FC, ia adalah isu berlainan kerana baru saja pada Khamis lalu (1 Ogos 2019), saya telah bertemu PFAM dan juga para pemain Terengganu City FC dan Hanelang FC untuk mencari jalan penyelesaian membabitkan tunggakan gaji mereka.
Ini sebenarnya sokongan tambahan yang diberikan FAM untuk membantu PFAM bagi menyelesaikan isu berkenaan, namun kenyataan terbaharu dikeluarkan PFAM itu jelas membelakangkan usaha proaktif yang dilakukan FAM bagi membantu pemain-pemain yang masih mempunyai tunggakan gaji dengan pasukan-pasukan yang telah ditutup ini.
Sekalipun FAM menyanjung tinggi usaha PFAM dalam membela nasib ahli mereka, kami sebagai badan induk bola sepak tempatan tidak teragak-agak untuk menilai semula kerjasama dengan PFAM andai segala usaha berterusan daripada pasukan-pasukan, persatuan negeri dan juga FAM ini tidak dianggap positif oleh PFAM sendiri.
Bagi FAM, kita semua tidak hanya boleh menilai isu tunggakan gaji ini dengan angka RM6.4 juta yang dinyatakan dalam kenyataan PFAM itu kerana PFAM sendiri tidak memberikan makluman terkini kepada FAM jumlah sebenar pembayaran yang telah pun diterima daripada kes-kes FAM yang di bawah kendalian PFAM, sama ada ia telah pun dibayar secara penuh atau sebahagian oleh pasukan yang terlibat.
PFAM sepatutnya boleh saja menghubungi FAM untuk kami menjadi perantara atau membantu PFAM dalam berkomunikasi dengan mana-mana pasukan bagi memastikan semua permasalahan ini dapat diuruskan dengan baik dan profesional.
Kenyataan yang dikeluarkan seperti ini sama sekali tidak akan membantu situasi. Malah ia menjadikannya semakin teruk dengan memfitnah pihak yang tidak bersalah dan pasukan yang sama ada tidak mempunyai sebarang kes yang masih belum selesai atau pasukan yang sedang berusaha secara proaktif untuk menyelesaikan hutang mereka itu.
Kebanyakan hutang dalam angka RM6.4 juta itu juga datangnya daripada tunggakan gaji oleh pasukan-pasukan yang telah ditutup itu dan menurut FIFA, kes-kes membabitkan pasukan berkenaan dianggap tertangguh sehingga jika pasukan-pasukan itu dihidupkan semula.
Daripada sebanyak 306 kes yang dilaporkan kepada FAM, sejumlah 168 kes iaitu kira-kira 55 peratus kes adalah membabitkan empat kelab yang telah ditutup itu – Marcerra United FC, Kuantan FA, Hanelang FC dan Terengganu City FC.
Baki 45 peratus lagi kes dapat diuruskan dengan baik menerusi perbincangan secara tertutup atau pun tindakan proaktif daripada kelab dan persatuan bola sepak negeri.
Seperti mana dijanjikan pada awal tahun ini, FAM telah pun membuat bayaran sebanyak RM4.011 juta kepada pemain dan pegawai menggunakan wang di dalam pegangan FAM.
Bagaimanapun, FAM percaya bahawa jumlah kes ini harus berkurangan kerana difahamkan beberapa pasukan atau kelab telah pun menyelesaikan bayaran tunggakan terbabit kepada pemain kerana beberapa kes yang telah selesai, belum diterima makluman secara rasmi oleh FAM.
Apa pun, sudah tentu FAM dari semasa ke semasa memantau semua perkembangan dan kes-kes ini dan sentiasa komited untuk terus bekerjasama dengan persatuan bola sepak negeri dan juga kelab-kelab terlibat bagi memastikan masalah tunggakan gaji ini dapat diselesaikan secara bersama.
Dengan falsafah yang menekankan pendekatan inklusif FAM, kami akan sentiasa menghulurkan sokongan kepada ahli gabungan yang memerlukan bantuan dalam usaha kami membina keupayaan pemegang taruh.
Akhir kata, PFAM sepatutnya tidak membuat kenyataan secara umum atau menyeluruh seperti ini tanpa menawarkan sebarang jalan penyelesaian atau memberi keadilan kepada semua pemegang taruh dalam bola sepak Malaysia.
Perspektif sempit dari sudut pandang PFAM semata-mata tidak boleh dianggap sebagai cara untuk menyelesaikan masalah ini tetapi sebaliknya memerlukan kerjasama dengan kelab dan semua pemegang taruh bola sepak untuk menyelesaikannya.
Sebagai antara pemegang taruh bola sepak negara, PFAM juga tidak sepatutnya mempertikaikan F:30 dan Next50 kerana mereka sebenarnya yang perlu bekerjasama untuk menjayakan Pelan Hala Tuju atau Roadmap FAM dan Rangka Tindakan Strategik MFL itu secara menyeluruh dan bukannya bertindak secara sebelah pihak sahaja. Di sini, nampak seolah-olah mereka seperti ada agenda tersembunyi.