Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan yang mereka tidak akan menggunakan sistem Video Assistant Referee (VAR) untuk baki aksi Piala FA kelak.
Sebelum ini, pihak badan induk bola sepak negara itu pernah memberitahu yang sistem VAR akan digunapakai ketika saingan piala dengan Piala FA menjadi sasaran untuk pelaksanaan perkara itu dilakukan.
Namun begitu, atas kekangan waktu, sistem tersebut dilihat tidak akan dipakai pada saingan Piala FA kali ini yang berbaki peringkat separuh akhir dan akhir sahaja.
Menjawab kepada pertanyaan media di Wisma FAM sebentar tadi, Timbalan Presiden FAM iaitu Datuk S. Sivasundram mengatakan yang latihan untuk melatih pengadil-pengadil tempatan dengan sistem VAR ini memakan masa hingga enam bulan.
Oleh kerana itu, sistem VAR tidak dapat digunapakai pada baki saingan Piala FA.
Akan tetapi, FAM memberikan gambaran yang sistem VAR ini akan digunakan pada separuh akhir dan perlawanan akhir untuk Piala Malaysia 2023 kelak.
Hal ini kerana, dua peringkat tersebut sudah menghampiri bahagian akhir untuk musim 2023 dan ketika itu pengadil-pengadil negara sudah pun bersedia dengan latihan mengenai sistem VAR.
Tambah Siva lagi, 20 pengadil dan 10 pembantu pengadil sedang menjalani latihan pengendalian sistem VAR yang turut dibantu oleh FIFA.
Dalam masa yang sama, FAM turut mendedahkan yang saingan Pestabola Merdeka 2023 akan diadakan pada Oktober ini dengan Malaysia akan ditentang oleh Palestin, India dan juga Lubnan.
Kejohanan jemputan ini dilihat cukup baik kerana kesemua negara yang bertanding akan bertarung di Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024.
FAM memperkenalkan tiga tingkat harga tiket untuk penyokong dewasa iaitu RM40, RM60 untuk tempat duduk di dirian utama atau grandstand serta RM80 bagi kategori premium serta RM5 buat kanan-kanak.
FAM juga turut akan perkenalkan tiket kombo bernilai RM70 yang hanya akan dijual pada tempoh terhad.