FAM: Tiada Aksi Pemanas Badan Buat Harimau Malaya

FAM Harimau Malaya

Peraturan ketat dan tahap pelaksanaan yang berbeza bagi setiap negara menjadi faktor utama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sukar untuk mengatur perlawanan persahabatan buat skuad kebangsaan menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe dijadualkan bertemu Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober, kemudian berdepan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 Oktober sebelum penutup aksi pusingan kelayakan menentang Thailand di Bangkok pada 17 November.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dalam kenyataannya kepada Bernama menjelaskan, sekalipun ketua jurulatih skuad Harimau Malaya itu telah memohon untuk mengatur aksi pemanas badan sebagai persiapan, pihaknya perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk sekatan perjalanan yang dilaksanakan di seluruh dunia ketika ini.

“Kami merancang untuk mengadakan beberapa perlawanan pemanas badan, tapi belum dipastikan lagi buat masa ini susulan wabak COVID-19 di seluruh dunia.

“Kebanyakan negara mengadakan sekatan perjalanan yang menyukarkan kami untuk mengadakan sebarang perlawanan persahabatan.

“Setiap negara mempunyai peraturan tertentu dan mempunyai tahap pelaksanaan yang berbeza-beza bagi mengawal jangkitan COVID-19, dan sudah pastinya kami akan mengadakan perlawanan pemanas badan untuk skuad kebangsaan sebaik keadaan pulih,” katanya.

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa FIFA sebelum ini telah mengumumkan penangguhan semua perlawanan kelayakan yang pada bulan Mac dan Jun ditangguhkan ekoran pandemik COVID-19.

Malaysia kini telah mengumpul sembilan mata selepas meraih tiga kemenangan daripada 5 perlawanan dan berada di kedudukan kedua di belakang Vietnam.

FAM sebelum ini meletakkan sasaran kepada skuad negara untuk mengutip sekurang-kurangnya empat mata dalam tiga perlawanan terakhir bagi mengakhiri kempen sekurang-kurangnya di tempat kedua kumpulan.

Kredit Foto: FAM

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Harimau Malaya:

Leave a Reply