Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap bertegas tidak mahukan khidmat Lim Teong Kim sekiranya mengambil alih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas ini.
Sebelum ini badan induk bola sepak negara itu menyingkirkan Teong Kim daripada jawatan Ketua Jurulatih skuad B-16 negara.
Walaupun sudah disingkirkan oleh FAM sebagai ketua jurulatih, kedudukan Teong Kim sebagai Pengarah NFDP dan Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) masih kekal setakat ini.
Dalam satu laporan oleh Stadium Astro, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Bola Sepak Belia FAM, Datuk Seri Subahan Kamal berkata kedudukan Teong Kim bersama NFDP setakat ini adalah terserah kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman.
“Saya tidak pasti. Seperti apa yang saya katakan, itu adalah budi bicara pihak menteri.
“Apa yang penting, menteri tahu hala tuju mengenai individu yang akan menjalankan tugas dalam program ini,” ujar Subahan.
Sebelum ini Presiden FAM, Dato’ Hamidin Mohd Amin pernah menyuarakan niat FAM untuk mengambil alih NFDP daripada KBS.
Beberapa perjumpaan dengan Syed Saddiq selaku Menteri Sukan turut telah diadakan sebelum ini untuk berbincang mengenai perkara tersebut.
Keputusan sama ada FAM akan mengendalikan NFDP selepas ini hanya akan diputuskan pada 15 Oktober hadapan.
Menurut Subahan lagi, FAM percaya mereka mampu menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk jika diberikan amanah untuk mengendalikan NFDP dengan syarat ia turut mempengaruhi jumlah dana yang diperuntukkan.
Menjelaskan mengenai perkara itu, Subahan dipetik sebagai berkata:
“Apabila anda mahu menjalankan program seperti ini, sudah pasti soal kewangan paling penting.
“Berapa jumlahnya, saya tidak tahu kerana ia bergantung kepada keputusan menteri. Mungkin formula lain juga perlu dicari,” tambah Subahan.
Dalam perkembangan lain Syed Saddiq dikatakan akan mengadakan satu sesi dialog bersama peminat bola sepak tempatan yang turut akan dihadiri oleh wakil daripada FAM, NFDP dan juga Majlis Sukan Negara (MSN).
Mengenali pengganti Teog Kim, Syed Saddiq berkata ia bergantung kepada kemampuan kementerian.
“Saya tidak mahu menjadi pakar dalam bidang ini, jadi kita tunggu. Apa yang saya boleh katakan, sekarang ini ia berdasarkan kedudukan kewangan kementerian.
“Sebab itu, kenyataan saya berkait rapat dengan situasi itu dan saya mahu menemui penyokong tegar bola sepak kerana mereka memiliki pandangan dan mungkin cadangan tersendiri,” ujar Syed Saddiq.