FAM Tandatangani MoU Dengan JFA Untuk Mengukuhkan Kerjasama Teknikal Dan Belia

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) bertujuan untuk mewujudkan rangka kerja bagi mengukuhkan kerjasama teknikal dan belia serta menggalakkan pertukaran pengetahuan dalam pendidikan kejurulatihan dan pentadbiran.

Majlis tandatangan MoU tersebut turut disaksikan oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA), Gianni Infantino, Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John dan Menteri Belia dan Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya.

Majlis itu turut disusuli dengan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Malaysia, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad. Ia merupakan pertemuan rasmi pertama antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden FIFA sejak tahun 1960-an, apabila Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj beberapa kali menerima kunjungan Stanley Rous.

FOTO: FAM

Menurut kenyataan daripada FAM, kerjasama dengan badan induk bola sepak Jepun itu membuka ruang pembangunan demi kepentingan bersama, termasuk kem latihan skuad kebangsaan, pendidikan kejurulatihan, pembangunan pengadil, pembangunan teknikal dan belia, bola sepak wanita dan futsal serta pertukaran pentadbiran berkaitan pengkomersialan dan penjanaan pendapatan.

Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin menghargai sokongan daripada Perdana Menteri dan menyifatkan kerjasama ini membuka langkah untuk Malaysia mempelajari sesuatu daripada bola sepak Jepun.

“Kami berbesar hati menjalin kerjasama secara rasmi dengan JFA untuk kali pertama sepanjang persahabatan kami. Kami optimis MoU ini bukan hanya memperkukuhkan ikatan yang sedia wujud di antara kedua-dua negara, malah menjadi titik mula langkah penting dalam usaha berterusan kami memartabatkan bola sepak negara.

“Bagi pihak FAM, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana memberikan kami peluang berkongsi pandangan dengan beliau. Kami yakin sebagai pemimpin yang memulakan Dasar Pandang Ke Timur, Tun Dr Mahathir menyokong projek ini.

“Dengan kejayaan layak ke Piala Dunia FIFA secara berturut-turut sejak 1998 dan muncul juara Piala Dunia Wanita FIFA, Jepun pasti menawarkan peluang yang tidak terbatas untuk kita belajar,” katanya.

Sementara itu, Presiden JFA, Kohzo Tashima mengajak delegasi Malaysia melawat negara mereka untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai sistem bola sepak Jepun.

“JFA sentiasa percaya dalam mengukuhkan kerjasama dengan rakan persatuan negara Asia. MoU ini membuka lagi peluang dalam menyediakan platform pembangunan yang memperkasakan dan mengukuhkan lagi jalinan persahabatan yang sememangnya sudah wujud di antara FAM dan JFA.

“Menandatangani MoU ini selepas kunjungan hormat kepada Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir adalah satu tanda sokongan hebat daripada Kerajaan Malaysia, sekali gus membuktikan kesungguhan Kerajaan Malaysia menjadikan bola sepak sebagai agenda negara.

“Sebagai langkah permulaan, kami ingin menjemput Perdana Menteri, Menteri Belia dan Sukan serta FAM untuk sesi lawatan sambil belajar ke Jepun.” jelasnya.

Turut hadir adalah delegasi FIFA, JFA dan ahli jawatankuasa exco FAM serta Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr Makio Miyagawa.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN