Skuad bola sepak Malaysia sejak dari dulu dipanggil dengan nama jolokan Harimau Malaya. Disebalik nama yang gah itu, terdapat kisah sedih mengenai spesis haiwan tersebut.
Spesis haiwan tersebut sedang mengalami kepupusan dengan tidak lebih daripada 150 ekor sahaja yang tinggal akibat pemburuan haram. Jika ianya tidak dibendung, maka spesis tersebut ini hanya akan tinggal sejarah sahaja selepas ini.
Oleh kerana itu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) rasa terpanggil untuk melakukan usaha mereka dalam cuba membantu menghalang kepupusan spesis tersebut.
Mereka bekerjasama dengan Kementerian Belia & Sukan (KBS) dalam misi ini menerusi agihan dana hasil daripada jualan tiket aksi skuad kebangsaan.
Menurut FAM, mereka akan menyalurkan RM1 daripada setiap hasil jualan tiket kepada KBS dengan ianya akan bermula dengan aksi Malaysia menentang Turkmenistan pada malam ini dan bersambung dengan perlawanan-perlawanan seterusnya.
Dari sudut pandang FAM, tindakan ini adalah satu perbuatan yang sekurangnya mampu untuk cuba membantu menghalang kepupusannya walaupun ianya jelas sekali sukar.
“Ini adalah satu misi yang izhar buat FAM dan KBS dalam pemuliharaan harimau Malaya. Setiap kali kita keluar bermain dan menonton bola sepak, kita menyumbang kepada kehidupan setiap harimau Malaya di Malaysia,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.
Bagi pihak KBS pula, mereka tidak mahu nama jolokan Harimau Malaya itu tinggal sebagai sejarah sahaja. Sebaliknya, mereka mahu mengekalkan spesis ini selama mungkin.
“Harimau Malaya ialah lambang dan nama panggilan keramat buat pasukan bolasepak kebangsaan Malaysia. Kita tidak mahu di satu hari nanti harimau tinggal mascot ataupun slogan dan laungan sahaja tanpa adanya harimau liar di hutan kita.
“Jika spesies ini pupus, jiwa kelestarian negara ini juga akan pudar dan tidak akan ada makna jika pada masa itu pasukan kebangsaan kita masih bergelar Harimau Malaya,” kata Menteri KBS, Hannah Yeoh.