Quantcast

BERITA

FAM Siasat Insiden Farizal Harun Tumbuk Pemain PKNP FC

Baru-baru ini tular di media sosial tentang rakaman video yang memperlihatkan tindakan penjaga gol pasukan Selangor, Farizal Harun melakukan ‘tumbukan curi’ ke atas pemain tengah PKNP FC, Mohamad Al-Fateh dalam perlawanan Liga Super pada hari sabtu lepas.

Pengendali PKNP FC, Abu Bakar Fadzim yang turut menonton rakaman video tersebut meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan kekasaran yang dilakukan oleh penjaga gol tersebut sambil menyifatkannya sebagai tidak profesional.

Dalam perlawanan itu, PKNP FC berjaya mengikat Selangor, 1-1 dan menafikan peluang skuad B. Satiananthan untuk merapatkan jurang mata dengan dua pasukan teratas liga.

Mengulas mengenai isu tersebut, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam menjelaskan pihaknya sedang menunggu laporan perlawanan dan mungkin akan mengenakan hukuman yang berat jika pemain tersebut didapati bersalah.

“Saya belum menerima sebarang laporan. Selalunya jawatankuasa disiplin dan tatatertib akan mengemas kini laporan selepas menerima aduan daripada MC (Komisioner perlawanan) dan pengadil perlawanan.

“Disebabkan cuti umum hari ini, jadi mungkin laporan berhubung perkara itu akan diterima esok. Kita akan melihat dan bertanya dahulu insiden ini kepada MC dan pengadil.

“Jika tindakan itu tidak dapat dilihat oleh pengadil dan MC, maka, kita akan gunakan video sebagai rujukan. Tindakan sewajarnya akan diambil di atas kesalahan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, pemain PKNP tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan Abu Bakar menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang sengaja dilakukan kerana tiada sebarang provokasi ketika itu.

“Saya sendiri tidak sedar dengan insiden itu tetapi agak mengejutkan kerana secara tiba-tiba Al-Fateh ditumbuk dari arah belakang tanpa sebarang sebab tetapi nasib baik tidak ada sebarang kecederaan serius berlaku.

“Al-Fateh juga dilihat tidak berdepan masalah selepas tamat permainan, macam tiada apa-apa yang berlaku. Saya serahkan perkara ini kepada pihak pengurusan untuk mengambil tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi oleh Utusan Malaysia.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!