FAM Setuju Piala Dunia 2 Tahun Sekali, Luaskan Peluang Negara Anggota Untuk Layak

Hamidin Mohd Amin FAM Piala Dunia

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyifatkan cadangan FIFA untuk menganjurkan kejohanan Piala Dunia secara dwitahunan akan memberi impak besar buat industri bola sepak global, khususnya dalam meluaskan lagi peluang negara anggota layak ke Piala Dunia.

Cadangan tersebut merupakan antara usaha badan induk dunia itu mentransformasikan masa depan bola sepak menerusi perencanaan jadual pertandingan yang bersifat global demi kepentingan semua pihak.

Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dalam kenyataannya menerusi media FAM menyifatkan pelaksanaan pelan FIFA ini akan memberi impak besar buat industri bola sepak global, khususnya dalam meluaskan lagi peluang negara anggota layak ke Piala Dunia.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sidang Kemuncak ‘Future of Football’ secara maya bersama Presiden FIFA, Gianni Infantino dan wakil dari lebih 211 negara anggota FIFA yang lain.

Pada dasarnya FIFA mengajak semua negara anggotanya membincangkan cadangan Piala Dunia secara dwitahunan serta reformasi terhadap Kalendar Perlawanan Antarabangsa atau International Match Calendar (IMC) selepas 2024 yang bakal memudahkan pemain senior atau remaja lelaki dan wanita dilepaskan oleh kelab masing-masing untuk menyertai aksi antarabangsa.

Sidang kemuncak itu diadakan sebagai sebahagian daripada proses FIFA mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang taruh dalam usaha membawa dimensi baharu ke dalam penjadualan bola sepak antarabangsa serta mewujudkan keseragaman untuk bola sepak lelaki dan wanita serta remaja.

“Cadangan FIFA ini juga memberi kebaikan buat negara anggota dalam membuka peluang menjadi tuan rumah Piala Dunia selain dapat mengurangkan masa perjalanan pemain sekaligus mampu memastikan tempoh rehat mencukupi bagi pemain antara musim,” kata Datuk Haji Hamidin.

Turut hadir mengiringi Datuk Haji Hamidin secara maya, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar.

Dalam sidang itu, Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA, Arsène Wenger dan Penasihat Khas Pembangunan Bola Sepak Wanita, Jill Ellis, membentangkan cadangan dan analisis kajian masing-masing.

Dua cadangan pertandingan belia FIFA dibentangkan, dengan pendekatan standard untuk kejohanan lelaki dan perempuan merangkumi pertandingan B-17, B-16 dan B-18 diadakan secara tahunan.

Pelan jangka panjang FIFA termasuk menampilkan 50 pasukan negara dan 50 kelab terbaik untuk bersaing di peringkat tertinggi bola sepak lelaki dan wanita, sejajar dengan perancangan Infantino dalam Visi FIFA 2020-2023.

Sidang kemuncak yang bermula jam 9 malam waktu Malaysia (30 September) berlangsung empat jam ini turut menyediakan konsep pertandingan bola sepak wanita global dan cadangan perlaksanaan pertandingan belia yang menerima sokongan FAM.

“Sidang kemuncak ini memberi kami pemahaman yang lebih baik, telus dan tepat mengenai pendekatan FIFA – Future of Football terutama dalam pelaksanaan Piala Dunia lelaki dan wanita secara dwi-tahunan dalam misi meningkatkan kualiti bola sepak di seluruh dunia,” tambah Hamidin lagi.

“Future of Football memiliki peranan penting dalam pembangunan dan pertumbuhan bola sepak yang mapan di segenap pelosok dunia,”

Dalam pada itu, kebanyakan liga dan kelab ternama Eropah menolak cadangan tersebut kerana melihat ianya akan membuatkan jadual semakin padat yang pastinya memberi kesan besar kepada kecergasan pemain.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN