FAM: Semua Pihak Perlu Akur Dengan Garis Panduan FIFA

FIFA

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini meminta semua pihak berkepentingan agar akur dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh FIFA, Selasa lalu, sebagai usaha menangani impak ekonomi gara-gara COVID-19.

Pekeliling FIFA bertajuk Isu Terhadap Peraturan Bola Sepak FIFA COVID-19 mengandungi empat perkara utama yang merangkumi:

1. Perjanjian yang telah berakhir dan Perjanjian Baharu

2. Perjanjian yang tidak dapat dilaksanakan seperti yang dijangkakan

3. Tempoh Pendaftaran (Jendela Perpindahan)

4. Perkara Peraturan-Peraturan Lain.

Di bawah perkara 2 iaitu Perjanjian Yang Tidak Dapat Dilaksanakan seperti Yang Dijangkakan, FIFA mengeluarkan prinsip bimbingan yang menggalakkan kelab dan pemain untuk membuka jalan kepada rundingan dalam mencari kata sepakat sepanjang krisis ini, termasuk cadangan penstrukturan penggajian sementara.

Berpandukan kepada garis panduan berkenaan, FAM mencadangkan langkah-langkah berikut sebagai proses mencari solusi terbaik demi kepentingan semua pihak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu:

LANGKAH 1

Sekiranya pasukan memerlukan kajian semula ke atas status penggajian dalam kontrak, pasukan hendaklah berbincang secara terus dengan pemain dan kakitangan teknikal bagi mencapai persetujuan melalui satu Perjanjian Bersama yang sesuai. Perjanjian Bersama ini perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada 22 April 2020.

LANGKAH 2

Malaysian Football League (MFL) dan Persatuan Pemain-Pemain Profesional Malaysia (PFAM) adalah digalakkan untuk terlibat sama dan boleh menyediakan sebarang bentuk pakej dan pelan Penstrukturan Penggajian Sementara jika mendapat persetujuan kesemua pasukan dan pemain.

Dalam hal ini, FAM ingin mengesyorkan agar MFL dapat mengambil inisiatif mengadakan rundingan segera dengan PFAM bagi mempelopori cadangan ini. Sebagai usaha mengelakkan situasi ini berlarutan, FAM amat berharap untuk sebarang persetujuan bersama mampu dicapai selewat-lewatnya pada 22 April 2020.

LANGKAH 3

Sekiranya tiada penyelesaian yang dicapai pada tempoh yang ditetapkan, perkara ini boleh dirujuk kepada FAM untuk tindakan susulan. Di peringkat ini, meskipun perkara berkenaan diperuntukkan dalam garis panduan FIFA, pasukan dan juga MFL diingatkan untuk tidak mengambil keputusan di sebelah pihak (unilateral decisions) tanpa merujuk terlebih dahulu kepada FAM.  Di samping itu, pasukan dan MFL juga adalah diminta memenuhi segala syarat yang bakal ditetapkan oleh FAM sebelum sesuatu kes diterima untuk tujuan penyelesaian.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, percaya garis panduan FIFA itu menjadi penunjuk jalan dalam melerai kekusutan sedia ada.

“Untuk mana-mana pasukan yang mahu mengadakan perbincangan, mereka boleh berbuat demikian tanpa ragu-ragu memandangkan ia sudah termaktub dalam garis panduan FIFA.

“Kami menggesa semua pasukan agar memahami langkah-langkah yang digariskan oleh FIFA dalam memastikan keputusan yang diambil secara bersama dengan pemain dan pegawai dilakukan secara profesional dan telus.”

Langkah-langkah yang disarankan ini membabitkan pemain dan pegawai 14 ahli gabungan FAM dan 24 rakan kongsi MFL.

Stuart turut mengingatkan semua pihak bahawa garis panduan FIFA adalah selari dengan saranan FAM dan MFL sebelum ini agar pasukan dan pemain mengadakan perbincangan terbuka untuk mengkaji semua aspek perjanjian, terutama terma-terma kontrak dan isu pembayaran gaji sepanjang tempoh PKP.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara bersama oleh FAM dan MFL pada 26 Mac lalu, kedua-dua organisasi menggalakkan agar semua pasukan dan kelab mengadakan perbincangan terbuka dengan pemain dan pegawai dalam menangani impak COVID-19 susulan penangguhan semua aktiviti bola sepak tempatan berikutan PKP yang mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

Bagaimanapun sehari kemudian, PFAM mengeluarkan kenyataan yang berkeras menyatakan kontrak perlu dihormati dan dipatuhi terutama isu pembayaran gaji.

“Keengganan PFAM untuk berbincang mengenai perkara ini tidak memberi manfaat kepada mana-mana pihak dan sebaliknya membuang masa yang berharga untuk mencari penyelesaian terbaik.”

“Apabila FAM meminta semua pihak berkerjasama dan sekadar berbincang dengan terbuka, ada yang menolak. Sekarang dengan arahan FIFA, kami harap tiada sesiapa yang cuba berlagak wira kerana detik ini menuntut semua pihak bekerjasama dan memikirkan gambaran yang lebih besar dari segi jangka masa panjang.”

Stuart menambah situasi semasa juga menuntut tindakan luar kebiasaan, mengambil kira kemungkinan PKP Fasa 2 dilanjutkan melepasi 14 April ini.

“Dengan keadaan yang tidak menentu ini, keputusan yang FAM ambil adalah bersandarkan kepada kelangsungan liga, kelestarian pasukan atau majikan dan kebajikan pemain serta pegawai dan kepentingan pemegang taruh yang lain.

”FAM sudah tentu mahu mengelak keadaan di mana pemain dan jurulatih terus dibayar gaji mengikut terma-terma sedia ada tetapi majikan mereka berdepan kekangan kewangan yang memungkinkan mereka lingkup dalam jangka masa pendek dan sekali gus mengakibatkan kehilangan pekerjaan bagi banyak pihak.”

Stuart menegaskan keputusan FAM sebagai badan induk tidak harus disalah tafsirkan kerana kebajikan pemain dan pegawai tetap menjadi keutamaan dalam apa keadaan sekalipun.

“FAM mencadangkan keputusan yang sukar ini dibuat secara kolektif dalam keadaan realiti industri semasa tanpa mengetepikan kepentingan pemain dan pegawai selaku watak utama.

“Kami harap semua pihak, termasuk peminat dan media, melihat langkah ini sebagai satu cara melindungi kepentingan semua pihak. Harus diingat, FAM bukan sekadar melindungi pemain dan pegawai, bahkan bertanggungjawab  memayungi kelab, liga dan pemegang kepentingan yang lain. Hanya dengan industri yang mapan dan berterusan, kita dapat bertahan dalam situasi yang dianggap genting ini.

“Dalam keadaan yang sukar sebegini, niat FAM adalah untuk mengimbangi tuntutan di antara melindungi kepentingan semua pihak sambil melihat isu ini dari sudut jangka masa panjang.”

Kredit Foto: FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN