Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam mengesahkan perlawanan akhir Piala FA 2019 yang akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 27 Julai akan datang akan dikendalikan oleh pengadi dari Jepun.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingham yng turut berkata dua penjaga garisan dari Jepun dan seorang pegawai perlawanan di kalangan pengadil tempatan akan mengendalikan perlawanan akhir tersebut sepenuhnya.
Kedah dan Perak akan berentap di perlawanan akhir Piala FA Malaysia, dan perlawanan tersebut akan melakar sejarah tersendiri kerana bakal menggunakan pengadil import. Perak muncul juara Piala FA pada 1990 dan 2004, manakala Kedah juara empat kali dengan kali terakhir ialah pada edisi 2017.
Stuart turut mengesahkan FAM telah menghantar permohonan kepada tiga negara iaitu Thailand, Australia dan Jepun – sebelum hanya Australia dan Jepun yang memberi maklum balas positif terhadap permohonan tersebut.
Bercakap kepada wartawan seperti yang dilaporkan oleh BERNAMA, Stuart dipetik sebagai berkata:
“Bagaimanapun, FAM memutuskan untuk menggunakan khidmat tiga pengadil dari Jepun selepas meneliti latar belakang dan kelayakan mereka,” katanya pada sidang media selepas Kongres FAM ke-55 di sini, hari ini.
Pemilihan pengadil dari Jepun itu juga dilihat selaras dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara FAM dan Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) padaApril lalu yang bertujuan mengukuhkan kerjasama antara lain dalam bidang teknikal dan pentadbiran.
Sebelum ini, isu penggunaan pengadil import untuk aksi final itu menjadi sedikit panas apabila FAM dan Liga Bola Ssepak Malaysia (MFL) tampak berselisih pendirian.