Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekali lagi menerima anugerah di peringkat Asia selepas dipilih sebagai pemenang anugerah Dream Asia AFC kategori Inspirasi (Gangsa).
Pemenang Gangsa tersebut menyaksikan FAM berada di belakang Persatuan Bolasepak Jepun [Emas] dan Persatuan Bolasepak China [Perak].
Menurut sumber laman Facebook rasmi FAM, badan induk bola sepak negara itu memenuhi kriteria yang diperlukan iaitu berjaya mempamerkan contoh terbaik.
Penerima anugerah dinilai menerusi inisiatif tanggungjawab sosial di antara bulan Julai 2018 dan Julai 2019 antaranya merangkumi pembangunan sosial kanak-kanak dan remaja, pendidikan dan intergriti, kesihatan dan kemanusiaan.
“Ini satu penghormatan buat kami selepas berjaya menerima anugerah kali kedua, yang mana kami turut menerima anugerah dalam kategori pembangunan tahun lalu.”
“Terima kasih diucapkan kepada rakan kerjasama kami untuk komitmen dan sokongan yang berterusan. Kami berharap FAM akan terus menjadi inspirasi dalam sukan bola sepak.”
“Anugerah ini juga bakal menaikkan semangat bekerjasama dengan rakan gabungan dalam menggunakan bola sepak sebagai pemangkin dalam mendidik dan menggilap bakat pemain muda negara,” ujar Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
Pada tahun lalu, FAM telah menerima anugerah bagi kategori Pembangunan.
Kredit foto: Football Association of Malaysia (Official)