Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berharap supaya kumpulan penyokong bola sepak negara dapat memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) demi memberi galakan motivasi buat Harimau Malaya bagi saingan Pestabola Merdeka 2024.
Terdahulu, kumpulan penyokong seperti Ultras Malaysia 07 (UM 07) tampil memberi kenyataan dengan mereka tidak akan menyertai kejohanan Pestabola Merdeka 2024 atas beberapa kekecewaan dirasai.
“Sakit dan terus sakit. Biar je jangan diubat. Kosongkan Stadium! Tutup Curva Pestabola Merdeka,” jelas mereka di media sosial Facebook serta mendapat banyak reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.
Selain UM 07, beberapa kelab penyokong di sekitar negeri lain turut tampil dengan kenyataan sama dengan mereka tidak akan memberi sokongan pada saingan tersebut buat Harimau Malaya.
Antara sebab saingan tersebut menjadi mangsa boikot mereka ialah berkaitan isu peletakan jawatan Kim Pan-gon selaku jurulatih kebangsaan, serta beberapa lagi faktor.
Walaupun begitu Setiausa Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman tetap meletakkan harapan supaya kelompok penyokong tersebut serta peminat setia Harimau Malaya lain mampu memenuhi stadium demi bola sepak Malaysia.
“FAM menyeru penyokong-penyokong Harimau Malaya yang lain, sama ada secara individu, keluarga atau berkumpulan supaya dapat kekal meneruskan sokongan mereka.
“Kami berharap mana-mana kumpulan penyokong sama-sama hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil bagi memberikan sokongan dan semangat kepada pasukan dan para pemain Harimau Malaya pada Pestabola Merdeka akan datang.
Kejohanan ini berlangsung dalam kalendar FIFA dan sudah tentu ia menawarkan pungutan mata untuk kita terus memperbaiki kedudukan Malaysia dalam Ranking dunia,” katanya menerusi laporan dikeluarkan oleh KOSMO.
Selain itu, FAM turut mengambil inisiatif lain demi menggalakan lebih ramai penyokong dapat hadir ke SNBJ demi memberi sorakan positif khas buat skuad kendalian Pau Marti Vicente nanti.
Inisiatif dibuat FAM termasuk memperkenalkan tiket kombo bersama tanda harga cukup berbaloi bagi peminat mendapatkannya secara beramai-ramai.
Lebih menarik, tanda harga diperkenalkan kali ini sama seperti tahun lalu dengan FAM ingin terus menghargai sokongan para peminat buat pasukan kebangsaan.
FAM Perkenal Harga Tiket ‘Rahmah’ Untuk Saingan Pestabola Merdeka 2024
“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan penjualan tiket kombo berharga RM70 bagi menyaksikan kesemua empat perlawanan Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 akan dibuka untuk tempoh terhad selama 14 hari iaitu bermula Rabu, 7 Ogos hingga Selasa, 20 Ogos 2024 di www.tickethotline.com.my.
“Pestabola Merdeka 2024 akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan dua perlawanan separuh akhir pada Rabu, 4 September 2024 – Lubnan bertemu Tajikistan (4.30 petang) dan Malaysia bertemu Filipina (9.00 malam), diikuti dua lagi perlawanan pada Ahad, 8 September 2024 iaitu Penentuan Tempat Ketiga (4.30 petang) dan Final (9.00 malam).
“Tiket kombo pada harga RM70 itu adalah tiket bagi Kategori Terbuka sahaja yang mana penjualan awal dalam tempoh terhad selama 14 hari itu adalah untuk memudahkan penyokong setia Harimau Malaya yang mahu hadir pada kedua-dua hari perlawanan iaitu pada 4 dan 8 September 2024.
“Sementara tiket biasa pula akan dibuka jualannya bermula pada Rabu, 21 Ogos 2024 sehingga ke hari perlawanan.
“Harga tiket untuk setiap Hari Perlawanan ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) bagi Kategori Terbuka, RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.
“Kesemua harga yang ditetapkan ini adalah sama dengan harga yang dikenakan pada Pestabola Merdeka 2023 Edisi Ke-42 yang berlangsung di venue sama, Oktober tahun lalu tanpa sebarang kenaikan sebagai tanda penghargaan kepada sokongan berterusan yang diberikan oleh penyokong Harimau Malaya,” jelas Datuk Noor Azman Hj Rahman di media rasmi FAM.