‘FAM Perlu Rasa Bersalah Jika Pengadil Lemah’

Pengadil

Saingan Liga Malaysia akan bermula tidak lama lagi. Musim baharu adalah saingan baru yang tetap akan memberi keterujaan kepada setiap pasukan untuk bersaing menjadi yang terbaik di negara ini.

Begitu juga dengan penyokong bola sepak tempatan yang sentiasa teruja memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing.

Jersi baharu dibeli, tiket perlawanan didapatkan, stadium perlawanan dituju untuk menyaksikan perlawanan setiap pasukan saban minggu.

Namun adakalanya keterujaan sebegini sering kali terganggu dengan kualiti pengadil yang tidak pernah lekang dari kontroversi saban musim.

Gambar fail.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menaungi pengadil-pengadil di negara ini tidak boleh menafikan perkara ini. Jika tidak, maka FAM sendiri tidak akan mencari pengadil dari luar untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA pada musim lalu.

Walaupun khidmat pengadil dari luar boleh sahaja ditagih untuk perlawanan-perlawanan besar, ia tidak bermakna tanggungjawab meningkatkan mutu pengadilan, sekaligus meningkatkan martabat profesion pengadil di negara ini boleh dilepas tangan.

Untuk itu Subkhiddin Mohd Salleh yang kini merupakan tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil FIFA berpendapat Malaysian Football League (MFL) dan FAM perlu mempraktikkan pendekatan digunakan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) serta Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam memajukan mutu pengadilan.

“Satu penambahbaikan perlu dibuat. Sediakan rakaman perlawanan untuk sesi taklimat di antara penilai pengadil dan pengadil selepas perlawanan agar kesalahan dan kelemahan pengadil dapat dilihat secara jelas, selain proses pembelajaran pengadil itu akan lebih berkesan,” kata Subkhiddin.

“MFL atau FAM kena sediakan video perlawanan kepada penilai pengadil. Mereka ada kepakaran untuk menyunting rakaman perlawanan yang melibatkan insiden penting dalam perlawanan dan ia boleh diberikan kepada pengadil sebagai bahan ulang kaji dan rujukan,” katanya kepada Bernama.

Subkhiddin

Selain itu Subkhiddin turut mencadangkan supaya seminar yang boleh menghimpunkan barisan pengadil terbaik negara kerap diadakan.

Ia bertujuan untuk membenarkan pembelajaran berterusan yang secara tidak langsung dapat mengekalkan tahap kualiti pengadil sepanjang musim.

“Di peringkat tertinggi, dua minggu sekali seminar untuk pengadil profesional diadakan jadi apa salahnya kami gunakan pendekatan itu. Pengadil sentiasa perlu mengemas kini (pengetahuan) untuk kekal relevan ketika mengadili perlawanan. Kalau hujung tahun baru kumpulkan mereka, ia tidak berkesan.

“FAM badan yang bertanggungjawab ke atas pengadil, kalau pengadil lemah FAM kena rasa bersalah dan berusaha tingkatkan prestasi mereka dengan menambah baik program pemantapan pengadil sedia ada,” katanya. 

Menurut Subkhiddin lagi, pengadil perlu bijak untuk memahami sifat pemain selain daripada dilengkapi dengan pemahaman bola sepak dan peraturan terkini permainan.

“Pengadil Malaysia bukan tidak pandai. Mereka kerap tersilap atau gagal buat keputusan kerana tidak nampak jelas situasi yang berlaku,” tambah beliau lagi.

“Itu masalahnya, pengadil Malaysia lemah daripada segi kedudukan. Pengadil kena sentiasa memahami permainan bola sepak, baru mereka boleh mengadili perlawanan,

“Pemain pula jangan fokus sangat kepada pengadil sebaliknya fokus terhadap kemampuan sendiri. Kalau anda bagus, baguslah permainan. Pengadil cuma bantu perlawanan berjalan lancar dan jaga keselamatan pemain untuk pastikan mereka dapat beraksi lebih lama.”

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN