Perbincangan yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkaitan isu penyiaran Liga Malaysia bersama syarikat penyiaran, Fox Sports baru-baru ini mendapat maklum balas positif daripada peminat bola sepak tempatan.
Perbincangan secara ringkas antara FAM dengan pihak Fox Sports itu dilihat sebagai sinar baru terhadap penyiaran bola sepak di Malaysia yang bakal berkembang dari semasa ke semasa bertujuan sebagai alat pemasaran bola sepak tempatan.
Namun sekiranya Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut diberikan peluang untuk bersama-sama bagi menyiarkan perlawanan liga Malaysia, ia mungkin lebih menarik.
Penglibatan RTM dalam penyiaran bola sepak perlu diberi ruang bagi meningkatkan jumlah penonton bola sepak di Malaysia sebagai tonik utama ke arah perancangan jangka panjang penyiaran Liga Malaysia yang dikendalikan bersama Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).
Sekian lama RTM tidak menyiarkan siaran langsung bola sepak Malaysia di negara ini setelah Media Prima mengambil alih penyiaran liga tempatan pada tahun 2014.
Kerinduan peminat bola sepak tempatan pada RTM untuk menjadi penyiar bola sepak tempatan juga memperlihatkan kehangatan suasana bola sepak tempatan telah kembali ke arah kemajuan bola sepak negara.
Ini juga memberi keyakinan pada pihak FAM untuk mendengar isi hati para peminat bola sepak tempatan bagi memberikan hak penyiaran liga Malaysia pada RTM pada musim hadapan serta bekerjasama dengan Media Prima dan Astro dalam menyiarkan keseluruhan perlawanan Liga Malaysia dan kupasan perlawanan Liga Malaysia.
Keperluan RTM sebagai penyiar bola sepak tempatan juga perlu diberi perhatian secara umum bagi membolehkan setiap pasukan dalam Liga Malaysia mendapat liputan siaran langsung perlawanan bola sepak sepanjang musim tersebut.
RTM bersama siaran sukan tempatan yang lain mampu untuk berganding bahu bagi menyajikan aksi perlawanan yang menarik dan berkualiti kepada para peminat di negara ini dalam saingan Liga Super, Liga Perdana, Piala FA, Piala Malaysia dan liga yang sering dilupakan iaitu Liga FAM.
Nota editor: Artikel ini merupakan hasil kiriman pembaca kami yang bernama Oz Faye. Jika mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel anda dalam format MS Word ke [email protected] .
Kredit foto: asiana.my