Quantcast

BERITA

FAM Perjelas Pegawai Keempat Dari Negeri Sama Adalah SOP Liga Malaysia

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelaskan pelantikan Pegawai Keempat (P4) tempatan atau dari negeri yang sama dengan pasukan tuan rumah bagi perlawanan liga dan peringkat kumpulan bagi pertandingan piala sudah lama dipraktikkan dan telah pun mendapat persetujuan semua pasukan negeri.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan FAM hari ini, FAM yang mengendali hal-ehwal pengadil di Liga Malaysia turut memberitahu amalan ini telah lama dipraktikkan sejak dari tahun 1980-an tanpa sebarang pertikaian dan telah mendapat persetujuan semua pasukan negeri bagi memberi peluang kepada pengawai tempatan mereka untuk menjadi P4.

Kenyataan FAM ini dikeluarkan berikutan isu bantahan pegawai pasukan Kedah yang dikatakan tidak mahu P4 perlawanan tersebut, Abdul Halim Mohd Ramlan menjadi pembantu pengadil (AR1) selepas pengadil Hamdan Awang mengalami kecederaan yang memaksa beliau terpaksa digantikan. Ini kerana Abdul Halim berasal dari Perak – lawan Kedah pada perlawanan tersebut.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Shahrin dan penolongnya, Azmi Mohamed dapat kedengaran membantah keputusan pegawai perlawanan ketika insiden pengadil cedera dalam aksi Liga Super 2019 menentang Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Dalam perlawanan tersebut, selepas Pengadil, Hamdan Awang mengalami kecederaan, AR1 iaitu Mohd Shahreen Omar mengambil alih tugas selaku Pengadil. Manakala P4 iaitu Abdul Halim Mohd Ramlan masuk untuk menjadi AR1.

Insiden berlaku ketika perlawanan Liga Super 2019, Perak bertemu Kedah di Stadium Perak, Ipoh, pada malam 8 Februari lepas.

Menurut FAM lagi, hanya bagi perlawanan peringkat suku akhir, separuh akhir dan final, P4 dilantik dari kalangan pegawai berkecuali. Tetapi dalam kes-kes tertentu pada pendapat Jawatankuasa Pengadil FAM, P4 untuk perlawanan liga boleh dilantik dari kalangan pegawai berkecuali.

FAM turut menegaskan Prosedur Pengendalian Standard (SOP) di Liga Malaysia menyatakan jika Pengadil mengalami kecederaan, maka Pembantu Pengadil 1 (AR1) akan mengambil alih tugas selaku Pengadil manakala kekosongan ditinggalkan AR1 itu akan diisi oleh P4.

Kes terpencil

Dalam kenyataan medianya, FAM menambah:

“Jika dilihat, kecederaan membabitkan pengadil ini merupakan kes terpencil yang mana ia jarang-jarang berlaku. Tetapi dalam perlawanan peringkat tertinggi juga, insiden kecederaan pengadil ini turut boleh berlaku.”

“Justeru ia tidak boleh dibuat kesimpulan bahawa pengadil yang dipilih FAM ini tidak cergas kerana kesemua mereka yang ditugaskan untuk mengadili perlawanan Liga Super dan Liga Premier ini perlu melepasi ujian kecergasan yang ditetapkan.”

“Kecederaan yang berlaku ini boleh berpunca daripada pelbagai faktor lain dan sudah tentu insiden seperti ini sememangnya tidak diingini mana-mana pihak.”

“Sebagai perbandingan, jika seseorang pemain itu mengalami kecederaan hamstring atau kekejangan otot walaupun beliau baru beraksi selama 10 minit, adakah ia bermakna bahawa pemain berkenaan yang merupakan seorang profesional tidak cukup cergas?”

“Jadi ingin ditegaskan di sini bahawa pengadil-pengadil tempatan yang dipilih FAM untuk mengadili perlawanan Liga Super dan Liga Premier cukup cergas dan adalah tidak adil untuk membuat kesimpulan bahawa pengadil tempatan kita tidak cergas.”

“Insiden seperti ini sebenarnya jarang berlaku pada saingan Liga Super dan kali terakhir ia berlaku adalah pada tahun 2013.”

“Bagi Piala Presiden dan Piala Belia 2018, kecederaan pengadil turut berlaku pada aksi final kedua-dua saingan tersebut tetapi tiada isu besar kerana P4 bagi kedua-dua perlawanan berkenaan adalah pegawai berkecuali memandangkan ia merupakan aksi final.”

FAM turut memaklumkan walaupun liga-liga luar negara mengamalkan SOP yang berbeza dengan Liga Malaysia, ia tidak bermakna SOP mereka tidak memiliki kelemahan dan sempurna 100%.

Contoh:

1. Tottenham Hotspur terpaksa meminta penyokong menjadi pembantu pengadil selepas pengadil Mike Jones mengalami kecederaan semasa sesi memanas badan.

2. Arsenal terpaksa meminta penonton menjadi pembantu pengadil selepas salah seorang pembantu pengadil tercedera ketika perlawanan Arsenal Ladies menentang Reading Women.

3. Norwich City terpaksa meminta penyokong menjadi pengadil ke-4 selepas pengadil ke-4 sebenar terpaksa menggantikan pembantu pengadil yang tercedera.

Kredibiliti dan profesionalisme pengadil tak perlu dipertikai

FAM turut menjamin bahawa kredibiliti atau profesionalisme pengadil tidak perlu dipertikaikan hanya kerana beliau merupakan pengadil tempatan atau berasal dari negeri sama dengan pasukan tuan rumah.

“Malah dalam Perlawanan Antarabangsa “A” juga, kita boleh lihat pengadil FIFA dari pasukan tuan rumah mampu mengadili dan mengawal permainan dengan baik kerana sememangnya pengadil adalah seorang individu yang telah pun dididik untuk sentiasa bersikap profesional dan adil ketika menjalankan tugasannya,” tambah FAM.

Insiden ini akan diperbincangkan lebih lanjut pada mesyuarat Jawatankuasa Pengadil FAM yang akan datang pada 18 Februari ini untuk tindakan selanjutnya.