Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebenarnya sentiasa memantau prestasi dan perjalanan karier pemain pertahanan negara, Annil Vigneswaran.
Sebelum ini beberapa pihak tampil mempersoalkan bagaimana pemain berusia 18 tahun itu disenaraikan di dalam skuad Bawah-23 tahun negara yang akan bersaing di pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Mongolia bermula 25 Oktober akan datang.
Ini kerana Annil beraksi bersama skuad B-19 SGV Freiberg yang merupakan kelab divisyen kelima Jerman.
Penjelasan Brad Maloney
Mengenai andaian sesetengah pihak Annil adalah pemain tangkap muat dan hanya menyertai skuad B-23 kerana berpengkalan di Eropah, Ketua Jurulatih Brad Maloney tampil dengan penjelasan.
“Berhubung isu Annil ini, kami barisan kejurulatihan sebenarnya telah lama memantau perkembangan dan prestasinya,” kata Maloney seperti yang dijelaskan dalam satu kenyataan.
“Bukan kita tak tengok langsung dan terus tiba-tiba meletakkan nama dia dalam senarai 23 pemain ke Mongolia ini.”
Menurut Maloney, Annil juga bukan watak asing di kalangan jurulatih pasukan negara kerana turut pernah dibimbing oleh Penolong Jurulatih, Khan Hung Meng sebelum pemain itu beraksi di Jerman sebelum ini.
“Penolong jurulatih, Khan Hung Meng pernah melatih pemain ini sebelum dia ke Jerman beberapa tahun yang lalu dan dia dilihat sebagai seorang pemain yang berbakat besar dan sejak itu, prestasinya sudah pun mula dipantau.
“Annil kemudian telah pulang ke Malaysia pada Disember tahun lalu untuk menyertai kem latihan pusat skuad B-19 kebangsaan tetapi malangnya kem latihan pusat pada masa itu tidak dapat dijalankan kerana Pusingan Akhir Kejuaraan B-19 AFC 2021 dibatalkan
“Tapi sejak dari itu, kami sentiasa memantau perkembangan prestasinya di Jerman dan berdasarkan video dan maklum balas yang diterima, cukup positif.
“Keputusan telah pun dibuat dan dia juga boleh bermain di beberapa posisi, seorang pemain yang versatil dan boleh menjadi aset kepada pasukan. Kami barisan kejurulatihan berasakan yang dia mampu memberi sumbangan kepada pasukan pada saingan kelayakan ini,” jelas Maloney.
Mahu diamkan pengkritik
Pemain versatil yang mampu beraksi di posisi bek tengah atau penyerang itu juga kini bersedia untuk membuktikan kemampuannya, serta mendiamkan pengkritik sekiranya diberikan peluang untuk beraksi dalam tiga perlawanan di Mongolia nanti.
“Ia perasaan yang hebat dan satu penhormatan untuk dipanggil menyertai kejohanan antarabangsa. Saya harus berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi kepercayaan kepada saya dan memberikan peluang untuk saya membuktikan kemampuan diri,” kata Annil seperti yang dilaporkan oleh New Strait Times.
“Saya sepatutnya pulang ke KL pada Disember tahun lalu untuk bersama skuad B-19, tetapi ia tidak berlaku kerana pandemik yang melanda.
“Saya tidak nampak sebarang masalah untuk mengenali rakan sepasukan yang lain. Setiap pemain di dalam pasukan adalah pemain yang hebat, dan saya berharap beberapa hari akan datang mampu menyesuaikan diri.
“Ramai mempunyai pendapat mengenai penyertaan saya bersama skuad B-23. Saya [sebenarnya] sentiasa berhubung dengan jurulatih untuk sekian lama, dan mereka mengikuti perkembangan prestasi saya.
“Saya hanya berusia 18 tahun, dan saya hanya mahu bekerja keras dan memberikan yang terbaik kepada kelab dan juga negara.
Pemain kelahiran Kajang itu turut pernah diberikan peluang menyertai skuad utama SGV Freiberg dalam perlawanan pra musim sebelum terbang ke Mongolia untuk bersama pasukan negara.
“Impian saya ialah untuk beraksi di Eropah. Tetapi saya akan sentiasa bersedia untuk menyarung jersi pasukan negara.
“Saya juga belum memutuskan sama ada akan menyertai Karlsruher SC atau VFB Sturrgart untuk saingan musim baharu,” tambah pemain itu.
Di Ulaanbaatar Mongolia nanti, pasukan negara akan berhadapan Laos pada 25 Oktober, sebelum menentang Mongolia tiga hari kemudian. Thailand pula akan menjadi halangan terakhir skuad kendalian Brad Maloney pada 31 Oktober.