Dalam muat naik terbaru status FAM sebentar tadi, pihak pentadbir bola sepak negara FAM telah memberitahu bahawa mereka masih tidak membuka pintu kepada naturalisasi.
FAM meminta peminat memahami konsep naturalisasi dan juga konsep pemain berdarah campuran.
Konsep naturalisasi
Naturalisasi adalah merujuk kepada seseorang individu yang sudah bermastautin lama (pada suatu tempoh) di Malaysia.
Mereka juga boleh mendapatkan naturalisasi ini menerusi beberapa kriteria lain oleh kerajaan Malaysia.
Konsep darah campuran
Darah campuran pula merujuk kepada pemain yang dilahirkan di Malaysia. Atau, ibu bapa kandung mahupun datuk nenek kandung mereka dilahirkan di Malaysia.
Secara tidak langsung mereka ada susur galur Malaysia.
Naturalisasi ada impak tidak sihat
FAM juga merasakan, buat masa ini mereka tidak akan terlalu emosi memikirkan soal bola sepak dan mengabaikan aspek lain ketika mengambil pemain naturalisasi.
Menurut FAM:
“Kita tidak boleh leka dengan keghairahan kita untuk meningkatkan mutu bola sepak di negara ini dengan memilih pemain naturalisasi yang tiada hubungan susur galur dengan negara kita.”
“Kerana ini akan mengehadkan peluang di dalam sistem bola sepak untuk pemain muda yang sedang dibangunkan serta telah mensabotaj semua perancangan pembangunan masa hadapan yang telah dirangka.”
“Ini disebabkan kerana kekurangan peluang di bahagian atas piramid oleh kerana kemasukan pemain naturalisasi yang berlebihan.”
“Pemain berdarah campuran adalah berbeza dimana mereka mempunyai hak kelahiran mereka untuk bermain demi negara.”
“Tambahan pula, berapa ramaikah pemain-pemain berdarah campuran yang boleh dicari sekiranya pintu kemasukan dibuka untuk pemain naturalisasi.”
“Pasaran bola sepak tidak boleh ditakluki oleh pemain berdarah campuran. Tetapi ianya boleh ditakluki oleh pemain naturalisasi kerana sesiapa sahaja boleh dinaturalisasikan.”
Nilai pasport Malaysia yang ‘mahal’
FAM juga menegaskan, pasport Malaysia adalah sangat tinggi nilainya di peringkat antarabangsa. Jadi, pihak mereka menghormati nilai itu dan tidak mahu mencemari statusnya.
“Pasport Malaysia adalah sangat berharga kerana pemilik diberikan visa sewaktu tiba atau visa akses percuma ke negara-negara seperti United Kingdom, Jepun dan sebagainya.”
“Oleh itu, pemain yang menggunakan medium bola sepak untuk mendapatkan pasport Malaysia mungkin mempunyai niat yang berbeza berhubung dengan sekatan perjalanan yang mungkin wujud pada pasport asal mereka.”
Naturalisasi antara masalah dalam bola sepak Asia
FAM berpendapat, naturalisasi di beberapa negara di Asia terlalu kritikal. Ia antara masalah kepada sistem bola sepak di Asia. Jadi, buat masa ini FAM merasakan adalah tidak perlu untuk Malaysia mengikut jejak langkah mereka.
“Pihak yang menguruskan bola sepak telah lama meneliti pemain-pemain dari konfederasi berbeza yang telah didaftarkan dalam Liga Asia tempatan sebagai pemain Asia oleh kerana pasport Asia yang telah diperoleh oleh pemain ini.”
“Ini merupakan masalah yang sebenarnya dihadapi di seluruh Asia dan Malaysia yang tidak sepatutnya ditambah di dalam dilema ini.”
“Kita tidak perlu menjadi terlalu naif untuk berfikir bahawa pemain dari benua lain yang memohon pasport Malaysia hanya berminat untuk bermain untuk Malaysia sahaja.”
“Tidak mustahil pemain-pemain ini akan menggunakan pasport Malaysia mereka sebagai pemain Asia untuk bermain di liga lain yang mana mereka mungkin sepatutnya tidak layak.”
Akhir sekali FAM berharap agar pihak pengendali Liga Malaysia, FMLLP sehaluan dengan mereka di dalam isu ini.