FAM Nafi Kenyataan “Kurang Cerdik” Menteri Belia & Sukan

Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) melalui satu kenyataan media oleh Setiauasaha Agung, Stuart Ramalingam sebentar tadi menafikan penglibatan berhubung isu jumlah pasukan yang bersaing di Liga Super Malaysia (MSL) pada musim hadapan.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh badan induk bola sepak negara itu selepas tularnya satu rakaman video dari seorang individu yang mendakwa “kawan baik” kepada Setiausaha Agung dan Presiden FAM di media sosial pada hari ini.

Walaupun tidak menyatakan video mana yang dimaksudkan, kenyataan oleh FAM itu boleh diagak merujuk kepada kenyataan Menteri Belia & Sukan yang baharu, Dato Seri Ahmad Faisal Azumu berkenaan kedudukan pasukan Perak FC pada musim hadapan.

Stuart Ramalingam MFL
FOTO: Astro Arena

“Merujuk kepada satu video yang telah tular di media sosial pada hari ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ingin menyatakan bahawa perkara tersebut tidak pernah dibincangkan langsung secara rasmi atau tidak rasmi oleh Persatuan ini, sama ada menerusi Presiden atau Setiausaha Agungnya dengan mana-mana pihak lain,” ujar kenyataan tersebut.

“FAM juga ingin memaklumkan bahawa segala keputusan atau ketetapan bagi jumlah pasukan yang beraksi pada saingan Liga Super dan Liga Premier serta penentuan jumlah pasukan yang turun dan naik bagi kedua-dua liga berkenaan adalah sepenuhnya di bawah bidang kuasa Malaysian Football League (MFL) dan ahli-ahli lembaga pengarahnya.”

Perak FC kini berada di zon penyingkiran Liga Super Malaysia, berada di kedudukan ke-11 dan dan mengutip 13 mata dari 20 perlawanan. Berbaki dua perlawanan, dan sekiranya kedudukan sebegini kekal, maka Perak FC akan terhumban ke Liga Premier buat pertama kali dalam sejarah pasukan itu.

Berdasarkan video yang tular, seorang individu yang dipercayai Ahmad Faizal dipetik sebagai berkata: “Nombor satu, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tak ada kuasa nak buat apa-apa, tapi itu terpulang kepada MFL, tapi kita kawan baik dengan MFL.

“Saya dengan CEO baru MFL Stuart ini pun kawan baik, dengan Datuk Hamidin pun saya boleh cakapkan.

“Baru-baru ini kita ada bincang Datuk Hamidin dan Stuart ada pandangan nak naikkan kepada 16 pasukan sebab ini selari dengan apa yang Fifa tetapkan. Selama ini kita tak ikut Fifa dan mungkin dia orang terpaksa buat begitu.

“Kalau itu berlaku, selamat lah negeri Perak, kalau tak berlaku kita sakit kepala sikit lah sebab tak pernah berlaku lagi.

“Dan masalahnya, Perak FC II akan turun lagi (dari Liga Perdana ke Liga M3), jadi dah tak boleh berada dalam satu liga jadi itu masalahnya. Jadi kita doakanlah, Insya Allah saya akan cakapkan dengan Datuk Hamidin dan Stuart,” katanya dalam satu video yang tular di media sosial ketika ini.

Apa yang Ahmad Faizal mungkin tidak sedari ialah Konfederasi Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mempunyai peraturan yang amat ketat mengenai campur tangan politik dan kerajaan. Mengambil kira hakikat tersebut, maka kenyataan sedemikian rupa boleh dianggap “kurang cerdik”.

Peraturan tersebut termasuklah perkara berkaitan penglibatan kerajaan yang boleh dianggap/menimbulkan persepsi mempengaruhi sebarang jenis keputusan membabitkan badan induk tersebut.

Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu merupakan Menteri Belia dan Sukan yang baharu dilantik oleh Perdana Menteri ke-9, Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob baru-baru ini dan merupakan Menteri Besar Perak ke-13.

Ketika menjawat jawatan di kerajaan negeri itu, beliau juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA) sebelum melepaskan jawatannya dari persatuan tersebut pada Januari tahun ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN