FAM Lantik Bekas Pengarah Pusat Kecemerlangan Bola Sepak Australia Sebagai Pengarah Teknikal

FAM mengumumkan perlantikan Pengarah Teknikal Pusat Kecemerlangan Persatuan Bolasepak Australia, Peter De Roo sebagai pengarah teknikal yang baharu.

Peter De Roo memiliki rekod trek yang memberangsangkan dalam aspek pembangunan pemain remaja di Australian. FAM menerusi laman facebook rasmi mereka menyatakan:

“Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) melantik Peter De Roo, berasal dari Belanda sebagai Pengarah Teknikal yang baharu dan bakal memulakan tugas beliau pada 1hb September 2017. ”

“Beliau bermain secara profesional di Belanda selama 12 tahun bersama kelab BV Veendam dan SC Cambuur. Selepas menamatkan karier sebagai pemain bola sepak, beliau telah melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan dan telah dilantik sebagai Pangarah Teknikal kepada kelab Cambuur Leeuwarden.”

“Pada tahun 2009, beliau telah berhijrah ke Australia dan telah dilantik sebagai Pengarah Teknikal Pusat Kecemerlangan Persatuan Bolasepak Australia, Institut Sukan Australia (FFA) dan pasukan kebangsaan Australia Bawah-16 dan Bawah-17 pada tahun 2012.”

“Beliau yang memiliki lesen khas untuk melatih pemain muda elit dari Persatuan Bolasepak Belanda, lesen AFC Pro Diploma serta Lesen Bolasepak Bersyarat dari Persatuan Bolasepak Australia.”

“Beliau telah membawa pasukan kebangsaan Australia Bawah-17 ke peringkat separuh akhir Kejohanan AFC Bawah-16 pada tahun 2014 di Thailand sekaligus melayakkan diri ke Piala Dunia FIFA 2015 Bawah-17.”

“Kejohanan yang berlangsung di Chile itu telah menyaksikan beliau berjaya membawa pasukannya layak ke peringkat 16 pasukan terbaik pada tahun tersebut.”

Kehadiran De Roo ini diharap dapat membantu dalam menstabilkan struktur pengurusan serta aspek teknikal dalam FAM.

Ramai penyokong kecewa dengan mutu bola sepak skuad kebangsaan yang turun 12 anak tangga dalam ranking FIFA tempoh hari.

Mungkinkah akan berlaku rombakan di dalam struktur kejurulatihan bola sepak Malaysia selepas ini?

Selamat datang ke Malaysia Peter De Roo.

Leave a Reply