Sejajar dengan matlamat Pelan Hala Tuju yang dikenali dengan F:30, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) terus mengorak langkah dalam usaha memartabatkan bola sepak tanah air dengan pelancaran ‘DNA Bola Sepak Malaysia’, sebentar tadi.
DNA Bola Sepak Malaysia dinilai sebagai rujukan bagi semua pihak dalam memahami corak permainan mengikut acuan bola sepak negara.
Dalam pada itu, DNA Bola Sepak Malaysia ini turut dikenali sebagai ‘The Malaysian Way’ atau Cara Malaysia.
Ia diharapkan menjadi garis panduan kepada pemain, jurulatih serta semua pihak yang terlibat dalam bola sepak tempatan bermula di peringkat bawahan hingga ke tahap tertinggi.
Mengulas mengenai kewujudan DNA ini, Timbalan Presiden FAM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Bola Sepak Belia, Dato’ Sri Subahan Kamal, berkata:
“Kajian mengenai DNA Bola Sepak ini diketuai oleh Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo seawal Oktober 2017 dan ia merangkumi kaedah permainan yang menitik beratkan etika kerja sepasukan, dengan menyerang secara teratur dan bertahan secara berpasukan.
“Secara umumnya, DNA bola sepak Malaysia adalah petunjuk kepada semua pihak bagaimana untuk bermain dengan corak permainan yang sama dan seragam, dari peringkat paling bawah hingga ke peringkat senior.
“Sasaran kita ialah melahirkan pemain yang benar-benar bermain cara DNA Malaysia pada 2030 sejajar kemuncak peta Hala Tuju F:30,” jelas Subahan lagi.
Sementara itu, de Roo menjelaskan Cara Malaysia sudah mula terserlah dalam skuad bimbingan Tan Cheng Hoe, di mana mereka bergerak sebagai sepasukan dalam transisi dari pertahanan ke serangan selain bertahan secara berpasukan.
“Negara-negara yang paling berjaya di dunia dan bahkan di Asia, sudah mula bekerja bertahun-tahun lalu dengan cara yang seragam untuk membangunkan pemain dan corak permainan tersendiri dengan mengembangkan DNA Bola Sepak masing-masing,” kata de Roo.
Menurutnya, DNA Bola Sepak Malaysia adalah kunci untuk perkembangan pemain dan jurulatih. Ia akan memberikan pendekatan yang konsisten dan akan memudahkan pemain dan jurulatih untuk melaksanakan di setiap peringkat.
“DNA Bola Sepak Malaysia akan melahirkan lebih banyak jurulatih yang berpengalaman, dan akan mengangkat standard pemain Malaysia ke tahap lebih tinggi.”
Peter de Roo juga turut menyifatkan gerakan tujuh pemain dalam tempoh masa 20 saat ketika Syahmi Safari menjaringkan gol pertama skuad negara di Stadium Rajamangala adalah sebagai contoh terbaik.
DNA Bola Sepak Malaysia ini dilancarkan oleh Presiden FAM, Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin sebagai penutup kepada Sidang Kemuncak Pengarah Teknikal yang diadakan selama dua hari, anjuran Jabatan Teknikal FAM.
Semoga dengan DNA ini dapat melahirkan skuad negara yang lebih berwibawa selepas ini. Mungkin akan tiba masanya!
Kredit foto: Persatuan Bolasepak Malaysia