Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan mereka kekal tidak akan meneruskan program naturalisasi dalam kalangan pemain profesional pada masa akan datang.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh beliau sendiri ketika ditanya tentang perkembangan terbaharu membabitkan program tersebut untuk bola sepak negara.
Barisan pemain skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon menjalani latihan di Pusat Latihan Terengganu FC, petang tadi pada hari ketujuh kem latihan pusat di Terengganu.
4 hari lagi menjelang Perlawanan Antarabangsa Tier 1 lwn Papua New Guinea, Selasa ini.#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/kmLo5tjMtJ
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 16, 2023
Ketika ini, situasi bola sepak negara menyaksikan lebih ramai pemain-pemain naturalisasi digunakan secara meluas untuk kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) di segenap posisi.
Program naturalisasi diperkenalkan oleh FAM sebelum ini dengan membabitkan tiga pemain kebangsaan iaitu Liridon Krasniqi, Mohamadou Sumareh, serta Guilherme de Paula yang sudah pun mewakili Harimau Malaya.
Namun begitu, impak ditinggalkan tiga pemain ini tidak begitu menyerlah sehingga mendapat kritikan daripada ramai penyokong skuad kebangsaan.
Walaupun kini program tersebut sudah pun dihentikan oleh FAM, Hamidin menyatakan mereka tidak menghalang untuk mana-mana kelab mendaftarkan pemain naturalisasi baharu yang layak daripada segi syarat ditetapkan.
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 | Rabu, 14 Jun 2023
MALAYSIA 🇲🇾 4-1 🇸🇧 KEPULAUAN SOLOMON
⚽️ Paulo Josue 40' Arif Aiman Hanapi 45'+2 (P) Safawi Rasid 77' Lee Tuck 90'+1
⚽️ Raphael Lea'i 11' #FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/7P3DUMtxAl— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 14, 2023
“Kami di pihak FAM sudah ‘stop’ (hentikan) program naturalisasi ini selepas kali terakhir kami lakukan adalah menaturalisasikan pemain kelahiran Brazil, Guilherme de Paula dan Liridon Krasniqi dari Kosovo, tapi selepas itu semua program naturalisasi ini kami serahkan kepada kelab atau negeri untuk proses berkenaan.
“Kami tidak boleh halang, itu hak kelab ataupun negeri, lagipun program naturalisasi ini dibenarkan oleh Persekutuan Bolasepak Dunia (Fifa), jadi di pihak FAM sudah hentikan berbuat demikian, fokus kita terarah kepada pemain tempatan selain kita juga melihat kepada pemain warisan kerana ianya dibenarkan oleh Fifa untuk bermain.
“Namun jika kelab ataupun negeri mahu menjadikan seseorang itu pemain naturalisasi, saya setuju dengan pandangan peminat iaitu mengambil pemain yang betul-betul berkualiti dan bagus,” katanya menerusi Harian Metro.
Ketika ini, beberapa lagi pemain naturalisasi telah pun didaftarkan oleh kelab masing-masing, dan sudah pun beraksi buat skuad kebangsaan di posisi tersendiri.
Malah, untuk aksi terbaharu Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini menyaksikan beberapa lagi pemain naturalisasi turut tersenarai untuk memperkuatkan pasukan negara bawah kendalian Kim Pan-gon.
Lee Tuck, Endrick dos Santos, Paulo Josue antara yang berjaya memberi impak positif buat skuad kebangsaan menerusi kualiti permainan ditampilkan untuk menewaskan Kepulauan Solomon.
Pada masa sama, Hamidin turut mengulas tentang stadium di negeri lain yang akan turut digunakan selepas ini oleh skuad kebangsaan untuk aksi persahabatan antarabangsa.
“Bukan hanya di Johor dan Terengganu, FAM juga akan turut membawa pemain Harimau Malaya beraksi di stadium lain termasuk di Sabah untuk memberi peluang kepada peminat setia menyaksikan pemain secara lebih dekat lagi, ini perancangan kita, namun perlu juga mengikut kesediaan dan kesesuaian stadium berkenaan,” katanya lagi.