Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menghormati keputusan dibuat Christopher Raj semalam untuk melepaskan jawatan selaku pengurus skuad B-17 Harimau Malaya.
Terdahulu, Malaysia B-17 gagal untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia B-17 selepas mereka sekadar mencipta satu keputusan seri serta satu kekalahan di peringkat kumpulan.
Hadir dengan keputusan kurang memberansangkan, Christopther yang juga merupakan EXCO FAM mengambil rasa tanggungjawab penuh untuk melepaskan jawatan tersebut.
Menurut Setiausaha Agung FAM iaitu Datuk Noor Azman Rahman, organisasi itu menerima keputusan tersebut dan menghormati tindakan dibuat oleh Christopher untuk melepaskan jawatan selaku pengurus B-17.
“Benar beliau (Christopher) telah melepaskan jawatan sebagai pengurus pasukan B- 17 kebangsaan dan Sekretariat Agung FAM telah pun menerima surat peletakan jawatan tersebut pada Isnin (semalam). FAM menerima dan menghormati keputusan yang dibuat oleh beliau itu.
“Untuk pengetahuan juga, Sekretariat Agung FAM telah meminta pengurus pasukan (Christopher), ketua jurulatih B-17 dan B-20 kebangsaan serta Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell menghantar laporan pasukan secepat mungkin untuk dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan Belia FAM yang dipengerusikan oleh Datuk S Sivasundaram yang juga Timbalan Presiden FAM untuk post mortem dan diperhalusi,” kata beliau.
Pada masa sama, Azman turut menyentuh mengenai aksi persahabatan Tier 1 bakal dihadapi Harimau Malaya dengan Laos menjadi lawan terbaharu mereka selain India.
“Kita harus tahu bahawa 18 pasukan terbaik dari Asia sudah ada jadual masing- masing sehingga tahun depan iaitu menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026.
“Malah, Pau Marti selaku ketua jurulatih juga membuat keputusan untuk tidak mengatur perlawanan persahabatan menentang empat pasukan dari Asia Tenggara iaitu Singapura, Thailand, Kemboja dan Timor Leste kerana mereka dalam satu kumpulan dengan kita pada Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024, Disember ini,” ujarnya lagi.
Akhir sekali, Noor Azman turut menambah mengenai aksi dihadapi Malaysia sebelum itu ketika menentang Auckland FC sebenarnya merupakan pilihan Pau Marti Vicente sebelum bertemu New Zealand.
“Pau Marti sendiri yang ingin menentang satu kelab (Auckland FC) pada bulan Oktober. Ini kerana beliau mahu mendapatkan perlawanan menentang pasukan negara yang berada dalam ranking lebih tinggi dan kompetitif. Tapi tiada pasukan negara yang sesuai pada ketika itu.
“Pada masa sama, Pau Marti juga akan memutuskan pasukan manakah yang akan dihantar beraksi pada Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 nanti.
“Perlawanan menentang Laos dan India ini adalah persiapan terakhir beliau dalam menyediakan pasukan ke kejohanan tersebut, ” jelas Noor Azman akhir sekali.