Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tampil menghormati teguran daripada Duli Yang Amat Mulia Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengenai kualiti pengadil bola sepak di negara ketika ini.
Menerusi perkongsian dibuat oleh Timbalan Presiden FAM, Dato’ S. Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, beliau menganggap cadangan daripada Tunku Ismail sedia untuk diperhalusi.
Terdahulu, Tunku Ismail yang juga merupakan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) tampil dengan kenyataan pedas kepada segelintir peminat memberi pelbagai alasan tentang suasana Liga Malaysia (Liga M).
JDT menang, stadium dan padang kurang cantik, players pasukan tak dapat gaji, players tiada gaji dan tak bersemangat, musim hujan, orang2 jaga club tak peduli dan lain-lain. Senang cerita macam ni. Kalau rumah jiran kita cantik dan rumah kita tak terurus, gila ke kita nak bakar… https://t.co/87dvcTFpTD
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) January 29, 2025
“Kenalkan financial fair play dengan segera, Badan Pengadil mesti independent dan bukan di bawah FAM. Tak puas hati juga, bayarlah pengadil luar negara. 11 tahun macam-macam alasan dan conspiracy.
“Ibarat pasukan Bundesliga semua ajak ramai-ramai boycott liga kerana tak boleh challenge Bayern. Mindset is everything,” ujar baginda di media sosial X.
Disebabkan itu, Sivasundaram mengakui FAM menerima teguran itu dengan terbuka dan bakal memperkenalkan kaedah terbaharu buat mana-mana kelab menginginkan khidmat pengadil dari luar.
“FAM sangat menghargai semua teguran dan cetusan idea Tunku Mahkota Ismail. FAM akan memperhalusi idea Baginda berhubung dengan penubuhan badan bebas untuk menguruskan pengadil-pengadil Liga Malaysia.
“FAM menerima teguran tersebut dengan hati yang terbuka,” kata beliau menerusi kenyataan telah dikongsikan.
Pada masa sama, Sivasundaram mengingatkan kepada mana-mana kelab tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil untuk membayar khidmat pengadil dari luar negara untuk mengendalikan perlawanan membabitkan mereka.
“Sekiranya ada pasukan yang tidak puas hati dengan prestasi pengadil tempatan, pasukan tersebut boleh memohon untuk menggunakan khidmat pengadil luar negara.
“Namun, bayaran elaun pengadil, penginapan, makanan dan lain-lain perbelanjaan perlulah ditanggung oleh pasukan itu sendiri. FAM atau MFL tidak akan menanggung kos penggunaan khidmat pengadil luar negara.
“Perlu diingat, kos untuk mendapatkan pengadil luar negara adalah sangat mahal dan perbelanjaannya dibayar dengan mata wang dolar Amerika Syarikat (USD),” jelas beliau.
Selain itu, Sivasundaram turut memberi pujian kepada pengadil dari Malaysia yang sebelum itu menampilkan prestasi cemerlang sepanjang saingan musim ini berlangsung.
“Keberadaan pengadil dengan tahap pemahaman Undang-undang Permainan yang baik serta tahap kecergasan yang tinggi dengan dibantu oleh ‘Video Assistant Referee’ (VAR) telah membuktikan kecemerlangannya. Setakat ini, FAM hanya menerima empat aduan bertulis daripada 161 perlawanan.
“Pengadil-pengadil FIFA dari negara ini telah diiktiraf oleh AFC dan FIFA. Seperti yang kita sedia maklum, Nazmi Nasaruddin dan dua pembantunya, Zairul Khalil Tan dan Mua’zi Zainai Abidin pernah bertugas di Piala Asia dan ‘AFC Elite Champion League’. Nazmi merupakan salah seorang calon pengadil Piala Dunia 2026.
“FAM juga memiliki sekumpulan pengadil muda dan berpotensi yang telah dididik melalui Projek Akademi Pengadil Profesional,” tegas beliau lagi.