FAM Hantar Wakil Ke Brazil Dan Cameroon Buat Kajian Naturalisasi

Isu kemasukan pemain naturalisasi yang tidak mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan sejak kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya akan menghantar wakil ke Brazil dan Cameroon untuk mengkaji proses naturalisasi pemain bola sepak.

“Mengenai pemain naturalisasi ini, belum tentu diputuskan lagi kerana perlu ada kajian yang diketuai oleh Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang akan ke Brazil dan Cameroon bagi melihat lebih lanjut pro dan kontra.

“Kita tunggu cadangan dulu sama ada boleh diteruskan atau tidak. Cadangan penggunaan pemain naturalisasi ini untuk kebaikan bola sepak, tetapi semuanya terpulang kepada kerajaan sama ada boleh memberi kewarganegaraan atau tidak.

“Pandangan saya berdasarkan persepsi bola sepak semata-mata dan opsyen ini tidak salah seperti mana dilakukan oleh Perancis dan Croatia,” kata Hamidin seperti dipetik dalam Berita Harian.

Beliau turut menjelaskan mengikut undang-undang FIFA, seorang pemain yang sudah menetap di sebuah negara lebih daripada 5 tahun layak untuk beraksi dengan skuad kebangsaan sebagai pemain naturalisasi.

“Kalau ikutkan untuk menjadi pemain nasional (kebangsaan negara lain) dapat pasport dan tinggal (menetap) lima tahun boleh dipanggil, jika jurulatih pasukan kebangsaan mahukan dia,” kata Hamidin selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali kelima di Hotel Hatten, Melaka semalam.

FAM juga membayangkan memberi ‘lampu hijau’ kepada Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe untuk memanggil tonggak Pahang, Mohamadou Sumareh yang disahkan sudah menjadi warganegara Malaysia.

Sumareh / kredit foto: Asiana.my

Sumareh ketika dihubungi turut mengesahkan perkara berkenaan dan bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk membantu pasukan negara, sekiranya khidmat beliau diperlukan.

Dalam kes Sumareh, difahamkan beliau sudah menetap di negara ini lebih 10 tahun dan mendapat kontrak bermain secara professional pada usia 20 tahun dengan mewakili Terengganu FA.

Seterusnya, beliau disambar PDRM sebagai pemain import mereka dan pernah menyertai pasukan Perlis. Kagum dengan prestasinya ketika di Perlis, jurulatih Dollah Salleh membawanya ke Pahang untuk memperkuatkan jentera serangan Tok Gajah.

FAM sebelum ini pernah menetapkan hanya pemain kacukan (berdarah campuran) sahaja yang diberi pertimbangan untuk mewakili pasukan kebangsaan.

Syarat-syarat naturalisasi menurut Perlembagaan Malaysia

Naturalisasi atau warganegara secara kemasukan adalah salah satu cara untuk memohon kerakyatan Malaysia seperti termaktub dalam Perkara 14 Perlembagaan Malaysia: Kewarganegaraan.

Seseorang layak menjadi warganegara Malaysia melalui empat cara yang berikut:

  • Kuatkuasa undang-undang
  • Pendaftaran
  • Kemasukan(naturalisasi/perwarganegaraan)
  • Percantuman wilayah

Menurut perkara 19(1), seseorang yang berumur lebih daripada 21 tahun dan bukan warganegara malaysia boleh memohon kewarganegaraan Malaysia melalui kemasukan dengan syarat bahawa:

  • Telah bermastatutin di Persekutuan sekurang-kurangnya 10 tahun dalam tempoh 12 tahun sebelum tarikh permohonan itu.
  • Berniat hendak bermastatutin tetap di Persekutuan
  • Berkelakuan baik
  • Mempunyai pengetahuan yang memadai dalam Bahasa Melayu.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN