Mohd Firdaus Mohamed selaku Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menggesa supaya setiap kelab di Malaysia tampil lebih aktif mencungkil bakat-bakat muda baharu dalam negara.
Terdahulu, masa depan bola sepak negara dilihat sedikit kelam selepas tidak banyak bakat-bakat muda baharu berkualiti dapat diperkenalkan lebih ramai untuk membarisi pasukan bola sepak Harimau Malaya di pentas antarabangsa.
Malah, kebanyakan kelab juga dilihat lebih banyak bergantung harap kepada produk daripada Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang membekalkan bakat-bakat baharu selain beberapa sekolah sukan lain berprestasi tinggi.
Disebabkan ‘trend’ tersebut kini semakin banyak dilakukan, maka program pencarian pemain-pemain baharu kurang dilakukan oleh kebanyakan kelab lain di Malaysia.
Jika suatu ketika banyak bakat-bakat berkualiti dicungkil dari serata ceruk termasuk kampung, kini kebanyakan kelab jelas terlalu bergantung harap kepada graduan-graduan sekolah sukan ternama atau dari akademi seperti AMD.
“Pergilah Ke Pelusuk Negeri & Daerah Untuk Cari Bakat Baharu,” – FAM
Menurut Firdaus, kebanyakan kelab tidak perlu bergantung harap kepada AMD dan sekolah sukan lain sahaja kerana produk dari sana juga masih belum meninggalkan impak yang sebetulnya positif buat skuad kebangsaan.
“Persatuan dan kelab ini perlu kreatif dalam mencari pemain, bukan sahaja pemain dari sekolah sukan tetapi carilah di ceruk-ceruk, daerah-daerah sebab dulu pun kita pernah lahirkan pemain-pemain dari ceruk dan daerah.
“Hari ini kita lihat kita terlalu mengharapkan sekolah-sekolah sukan dan akhirnya kita tahu bukanlah bagus sangat pun skuad kebangsaan.
“Setiap tahun kita anjurkan Piala Presiden dan Piala Belia, tetapi saya ingin melihat prestasi pasukan yang beraksi bawa umur ini meningkat.
“Saya mohon maaf dahulu untuk mengatakan bahawa, kita masih belum dapat melihat pasukan di peringkat belia ini dapat melonjakkan prestasi pasukan kebangsaan.
“Jadi, saya berharap agar pasukan yang bertanding jangan cepat berasa selesa. Kita kena pastikan bahawa mutu setiap pasukan di peringkat belia ini sentiasa ditingkatkan,” kata beliau menerusi laporan Harian Metro.
Pada masa sama, Firdaus juga menggesa supaya FA di setiap negeri memperkasakan program yang dapat menaikkan keghairahan buat bakat-bakat muda berpotensi untuk menyerlahkan bakat mereka.
“FA negeri kena naikkan keghairahan bola sepak di peringkat kampung supaya mereka ini berpeluang mewakili daerah, negeri dan negara.
“Kalau tidak, kita terpaksa mengharapkan sekolah sukan dan AMD yang sedia ada tetapi kita pun tahu dalam tempoh lima hingga 10 tahun ini, kita tak nampak peningkatan di peringkat antarabangsa.
“Zaman dulu kita tiada AMD, tiada sekolah sukan, pasukan kita biasa sahaja menang, dengan Thailand pun menang juga,” katanya akhir sekali.
Sehingga kini, hanya Arif Aiman Hanapi sahaja bakat muda berkualiti yang berjaya diketengahkan sehingga mendapat perhatian daripada media-media antarabangsa selepas impaknya bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), serta Harimau Malaya.
Manakala Luqman Hakim Shamsudin pula sedang membina karier di luar negara pada usia masih muda dan berada di landasan positif untuk terus berkembang maju.
Persoalannya, adakah kelab-kelab lain mampu melahirkan Arif Aiman serta Luqman Hakim generasi baharu untuk diketengahkan pada masa hadapan?