Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin bin Haji Mohd Amin menggesa persatuan-persatuan bola sepak di Malaysia untuk memaksimumkan kehadiran penggerak serta penggiat sukan ini di Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia (WFS) Asia yang berlangsung dua hari bermula hari ini.
Menurut kenyataannya melalui laman web rasmi FAM, sidang kemuncak Asia yang julung kali diadakan di sini adalah peluang terbaik buat ahli gabungan mengikuti trend dan isu terkini.
“Saya menggesa pemimpin bola sepak Malaysia untuk bertukar-tukar pendapat dengan mereka yang hadir di sini dan secara tidak langsung mencari ilmu pengetahuan sebanyak mungkin dalam mengikuti trend dan isu terkini.
“Dengan mengadakan sidang kemuncak di Kuala Lumpur, Malaysia dan Asia akan mendapat manfaat memandangkan ramai tokoh dan pakar bola sepak terbaik berkumpul untuk bertukar pendapat antara satu sama lain buat julung kalinya di sini,” katanya dalam ucapan pembukaan.
Industry Talk Elevating the Sound Experience in Football Stadiums by Motifv8 "There is a difference between sound and sound entertainment systems.
UEFA is requiring these characteristics for their tournaments." #WFSAsia pic.twitter.com/8gQwSydKGq— World Football Summit (@WFSummit) April 29, 2019
Ini adalah kali pertama WFS diadakan di luar Eropah, berikutan tiga edisi sebelum ini diadakan di Madrid.
“Maklum balas yang saya perolehi daripada edisi sebelum sidang kemuncak di sini sangat positif. Malah secara peribadi, setelah menghadiri Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia di Madrid sebanyak dua kali sebelum ini, saya merasakan dialog dan perbincangannya mampu membuka kesedaran serta bernilai.
“Sama ada topik perbincangannya merangkumi pengurusan kewangan mahupun mekanisme cukai agar seiring dengan arus perdagangan komersial bola sepak sekarang, bagi saya sidang kemuncak ini adalah tempat terbaik untuk semua pemimpin bola sepak,” kata Dato’ Haji Hamidin.
WFS Asia, yang bertujuan untuk menjadi sidang antarabangsa yang paling gah dalam industri bola sepak Asia, dilihat sebagai platform paling ideal dalam sukan ini selain mampu diangkat sebagai kapten dalam industri bagi mewujudkan jaringan.
Lebih daripada 2,000 pengamal bola sepak dengan 60 penceramah dijangka akan hadir di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid untuk WFS Asia ini. Dalam pada itu, lebih daripada 30 wakil ahli gabungan FAM telah mendaftar untuk menghadirinya.
Dato’ Haji Hamidin menambah: “Sebagai Presiden FAM, saya berharap dapat mengetengahkan langkah untuk membuka pelaburan baru dalam perkembangan bola sepak menerusi penajaan baru.
“Saya percaya kebanyakan hadirin pasti ingin mengetahui betapa pentingnya pertambahan dan realiti maya hari ini serta seberapa banyak data yang dapat diterokai dengan lebih terperinci.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penganjur Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia Asia ini kerana memilih Kuala Lumpur sebagai tuan rumah. Saya harap ini bukan yang pertama dan juga bukan yang terakhir.” katanya.