Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam berkata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dibenarkan untuk menghantar pasukan remaja jika ingin berbuat demikian untuk Piala Cabaran.
Pertandingan Piala Cabaran yang mula diperkatakan pada permulaan musim ini akan diadakan khas untuk pasukan-pasukan yang tidak layak beraksi di Piala Malaysia.
Pertandingan tersebut dirancang untuk berjalan serentak dengan pertandingan Piala Malaysia pada musim ini, dan akan melibatkan 8 pasukan yang bersaing di 100Plus Liga Premier.
Menurut Kevin lagi, Piala Cabaran akan dilangsungkan pada hari bekerja, manakala Piala Malaysia akan dilangsungkan pada hujung minggu untuk memberi peluang penyokong hadir dan mendapat lebih liputan demi prestij kejohanan bola sepak tertua negara ini.
“Piala Cabaran akan dilangsungkan pada hari bekerja diantara jadual perlawanan Piala Malaysia. Pihak kami cuba untuk tidak melangsungkan ianya serentak dengan perlawanan Piala Malaysia. Ini untuk membenarkan Piala Cabaran turut tidak tenggelam dan mendapat liputan sewajarnya.”
“Dua kumpulan dengan empat pasukan akan dijadikan format pertandingan, diikuti separuh akhir dan perlawanan akhir,” ujar Kevin kepada media dalam satu majlis yang berlangsung di Cheras pada hari ini.
Berdasarkan penjelasan Kevin ini, status pengganti Kuantan FA dalam Piala Cabaran menjadi tanda tanya ramai. Pasukan berstatus kelab terebut telah disingkirkan dari pertandingan Liga Premier, setelah bergelut dengan masalah pembayaran gaji pemain dan pegawai.
Dan menurut Kevin, pihak MFL telah menyerahkan prihal penyertaan tersebut kepada FAM untuk diputuskan. Untuk itu, FAM mempunyai beberapa pilihan.
FAM boleh membuka jemputan tersebut kepada mana-mana pasukan dari Piala FAM- yang merupakan liga divisyen tiga negara, ataupun memilih untuk menghantar wakil sendiri yang terdiri daripada skuad remaja.
Penyertaan di dalam Piala Cabaran oleh FAM hanya akan diputuskan selepas pemilihan Presiden FAM dimuktamadkan pada awal bulan hadapan.
Kevin turut mengesahkan pertandingan Piala Cabaran dan Piala Malaysia tetap akan diteruskan mengikut perancangan awal bermula awal Ogos ini meskipun ia dijangka akan menjejaskan persiapan skuad bawah 23 tahun negara (B-23) ke Sukan Asia Indonesia.