Quantcast

BERITA

FAM Dapat Kelulusan Anjur Kursus Kejurulatihan AFC

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam telah menerima sijil keahlian A Konvensyen Kejurulatihan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dalam satu majlis di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Menurut kenyataan di laman facebook FAM, sijil itu disampaikan oleh Setiausaha Agung AFC, Dato’ Windsor John kepada Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal dan disaksikan oleh wakil-wakil AFC iaitu Wim Koevermans yang merupakan Timbalan Pengarah Teknikal AFC dan Jose Carpio, Ketua Perkhidmatan Pembangunan Bola Sepak AFC Bahagian Teknikal.

Manakala FAM diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, Pengarah Teknikal, Peter de Roo dan Ketua Unit Pendidikan Jurulatih, David Abela.

Dengan pengiktirafan sebagai salah satu daripada ahli Kategori A Konvensyen Kejurulatihan AFC, FAM kini boleh menganjurkan dan menjalankan Kursus Kejurulatihan peringkat dan kategori masing-masing tanpa menjalani proses lama untuk mendapatkan kelulusan AFC terlebih dahulu.

“Ini adalah detik penting untuk bola sepak Malaysia dengan pengiktirafan tahap ini yang diluluskan oleh AFC dan membolehkan kami menjalankan kursus kami sendiri yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan khusus bola sepak Malaysia dan jurulatih Malaysia yang berdasarkan trend terkini dalam pembinaan dalam istilah kandungan dan kaedah penyampaian,” kata Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo.