Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya telah menghantar dua pencalonan ke Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun ini.
Dua jaringan yang dicalonkan ialah jaringan sepakan percuma jarak jauh Herold Goulon ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA minggu lepas dan rembatan dari luar kotak penalti oleh pemain skuad Harimau Malaya, Syahmi Safari ketika saingan Piala AFF tahun lepas.
29' GOAL! Malaysia equalize! 1-1!
What. A. Goal. Syahmi Safari runs at the opposition defence before hitting an absolute belter from way out. Malaysia with the all-important away goal and what a goal it was! #THAvMAS #AFFSuzukiCup18 #WearYourPride pic.twitter.com/tfsATQL7et
— FOX Sports LIVE! (@FSAsiaLive) December 5, 2018
90+3'| GOLAZOO GOULON!
Percubaan dari tengah padang oleh Herold Goulon mencipta momen yang cukup magis di Kuantan, memperdayakan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim untuk jaringan gol ketiga Pahang!@OfficialPahang 3-1 @peraktbgmy #ShopeePialaFA2019#MFLLive#PHGPRK pic.twitter.com/PsOce1pQgF
— MFL LIVE (@MFL_Live) June 22, 2019
Stuart turut menjelaskan FAM telah menghantar surat rasmi dan rakaman video jaringan Herold Goulon kepada FIFA semalam selepas mendapat persetujuan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) manakala jaringan Syahmi Safari sudah dicalonkan sejak awal tahun ini.
“Pihak Pahang sudah meluluskan untuk kita menghantar pencalonan gol Goulon ke FIFA dan ia akan dihantar hari ini (semalam).
“Gol itu memang cantik dan selayaknya dihantar bagi membolehkan ia dinilai oleh jawatankuasa teknikal FIFA sekali gus berharap kita dapat tercalon 10 terbaik nanti.
“Goulon menjadi pemain kedua selepas Syahmi (Safari) menjadi individu pertama dihantar FAM untuk pencalonan. Gol Syahmi kita dah hantar awal tahun ini dan mana tahu kedua-duanya boleh berada dalam 10 tercantik,” katanya dalam Arena Metro.
Jaringan Goulon tersebut bukan sahaja menjadi bualan peminat bola sepak dari seluruh dunia tetapi turut menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan jaringan itu layak dihantar untuk pencalonan Anugerah Puskas 2019.
Kata-kata baginda itu diceritakan sendiri oleh jurugambar rasmi istana, Abdul Rahim Othman, ketika mengiringi Sultan Abdullah berjalan menuju ke pesawat peribadi di Pengkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sebelum ini, seorang pemain tempatan, Faiz Subri pernah mencipta sejarah apabila menjadi pemain pertama dari Malaysia yang memenangi Anugerah PUSKAS pada tahun 2016. Jaringannya itu telah memukau peminat bola sepak dunia dan dikatakan telah melanggar “hukum fizik”.
Faiz juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah itu yang diambil sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.
Bekas pemain Pulau Pinang itu mengetepikan 2 lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.