FAM Cadang Semua Pasukan Liga M Laksanakan Sistem Tiket Bernombor

Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mencadangkan setiap venue perlawanan Liga Malaysia (Liga M) menggunakan kerusi bernombor sebagai langkah untuk memastikan tahap keselamatan penyokong dapat dikawal dan mengelakkan kehadiran penyokong yang melebihi jumlah kapasiti stadium.

Menurut laporan akhbar daripada Kosmo, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan FAM, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, cadangan itu dikemukakan setelah mengambil kira pelbagai isu serta melihat beberapa insiden sebelum ini yang dilihat mengganggu serta mengancam keselamatan para penyokong untuk menikmati perlawanan Liga M dengan tenang.

“Sudah tentunya penggunaan kerusi bernombor ini secara tidak langsung dapat memastikan serta mengawal jumlah penyokong bola sepak yang hadir ke stadium dalam satu-satu masa pada setiap perlawanan.

“Para penyokong yang membeli tiket di kaunter-kaunter stadium akan diberikan nombor yang di­nyatakan dalam tiket dan mereka harus patuh serta duduk di kerusi-kerusi yang nombornya tertera pada tiket masing-masing.

“Langkah ini bukan sahaja dapat mengelak sebarang insiden keganasan bahkan pihak ke­selamatan boleh mengenal pasti mana-mana penyokong yang mengeluarkan kata-kata bersifat perkauman hingga boleh menyinggung perasaan penonton-penonton lain di stadium,” katanya.

Zulkifli turut mendedahkan cada­ngan tersebut sebenarnya telah dikemukakan pada mesyuarat exco FAM, namun ia masih menunggu persetujuan semua pihak untuk diwajibkan kepada setiap stadium yang terlibat.

“Usaha yang ingin kita ketengahkan ini sememangnya dapat membantu dalam mengurangkan kes-kes jenayah atau keganasan yang berlaku semasa perlawanan Liga M berlangsung.

“Kita tidak mahu insiden yang tidak sepatutnya berlaku akan berulang serta menyebabkan kerugian amat besar kepada pihak pengurusan pasukan ne­geri atau kelab dan juga FAM,” jelasnya.

Insiden pergaduhan di antara penyokong kadang-kadang boleh berlaku dalam saingan Liga M terutamanya yang melibatkan perlawanan berprofil tinggi.

“Jawatankuasa Keselamatan FAM memandang berat aspek keselamatan kerana kita mahu perlawanan Liga M berjalan lancar dan penyokong dapat menikmati aksi dalam keadaan selesa.

“Tahun lepas, insiden atau rusuhan yang berlaku tidak terlalu serius, namun kami mengharapkan tahun ini ia tidak akan berulang,” ujarnya.

Rumusan

Kami di SemuanyaBOLA amat bersetuju dengan langkah mengenalkan sistem tiket dengan kerusi bernombor ini kerana inilah langkah pembaikan stadium yang paling dimahukan oleh penyokong bola sepak tanah air.

Sudah berapa kali anda beli tiket, hanya untuk berdiri sebelum sepak mula perlawanan hingga tiupan wisel penamat kerana tempat duduk sudah penuh?

Berapa ramai pula yang terpaksa masuk ke stadium seawal jam 4 petang (jika perlawanan bermula pada 9.00 malam) hanya untuk mengecop tempat duduk dengan menggunakan mafla masing-masing?

Perkara ini merupakan perkara asas dalam hal ehwal pengurusan stadium. Tempat duduk bernombor memelihara hak penyokong yang membayar untuk membeli tiket, dan mencerminkan kecekapan dan ketelusan pihak pengurusan stadium itu sendiri.

Secara tidak langsung ia dapat meningkatkan kantung kewangan pasukan melalui jumlah hasil kutipan tiket masing-masing.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN