Proses untuk mendapatkan pemain naturalisasi bukanlah semudah yang disangkakan kerana terdapat beberapa syarat ketat yang telah ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang perlu dipatuhi.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dalam kenyataannya kepada Sinar Harian mengakui pihaknya kini menghadapi kesukaran untuk mencari pemain yang boleh dinaturalisasikan untuk bermain untuk skuad Harimau Malaya.
Undang-undang FIFA menetapkan, pemain yang mahu dinaturalisasikan wajib bermain di Liga Malaysia selama lima tahun berturut-turut dan kebanyakan pemain import di negara ini tidak memenuhi syarat berkenaan.
Sehingga hari ini, hanya dua orang pemain sahaja yang sudah menepati kriteria tersebut iaitu penyerang baharu perak, Guilherme de Paula Lucrecio dan bekas pemain tengah Kedah dan Melaka United, Liridon Krasniqi yang baru sahaja menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).
Liridon Dan De Paula Semakin Hampir Bergelar Pemain Harimau Malaya – https://t.co/591Ru7n1BG pic.twitter.com/jQ17A9NtZq
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) January 4, 2020
De Paula bersama Selangor pada 2015 sebelum menyertai PDRM dan Kuala Lumpur, sementara Liridon pula tiba di Kedah juga pada 2015.
“Sebenarnya kebanyakan pemain import di Malaysia ini tidak menepati kriteria bermain secara lima tahun berturut-turut di negara ini untuk membolehkan bermain bersama Harimau Malaya.
“Kalau ada pun pemain import ini yang dah main tiga tahun di sini tetapi tahun keempat pergi main di tempat lain, selepas itu datang balik bermain kat sini. FIFA tak benarkan macam itu, sebaliknya dia perlu bermain lima tahun terus di sini,” katanya.
Tambah Stuart lagi, ada pemain import yang sudah bermain selama lima tahun berturut-turut di Malaysia, tetapi sebelum itu, mereka sudah mewakili negaranya dan secara automatik tidak boleh bermain untuk pasukan negara ini.
FAM Perkenalkan Mekanisme Proses Pengambilan Pemain Naturalisasi – https://t.co/FZ3m1SiciJ pic.twitter.com/ri7b7QtLmh
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) March 30, 2019
Ekoran masalah tersebutt, FAM menjangkakan dalam tempoh dua tahun ini tidak ada mana-mana pemain lain yang dijangka dapat dinaturalisikan.
“Memang sukar untuk cari pemain yang boleh dinaturalisasikan dalam masa terdekat. Ramai penyokong tanya kenapa tak naturalisasikan pemain-pemain tertentu, sebenarnya mereka tidak tahu syarat FIFA ini.
“Mungkin pada 2021 atau 2022, penyerang Kedah, Kipre Tchetche boleh dinaturalisasikan kerana tahun ini dia sudah empat tahun bermain di sini. Tahun 2021 akan genap lima tahun tetapi segala-galanya belum pasti,” ujarnya.
Setakat hari ini, Malaysia hanya berjaya menaturalisasikan seorang sahaja pemain import iaitu Mohamadou Sumareh yang sudah menetap di negara ini sejak berusia 13 tahun. Pemain kelahiran Gambia itu bermain untuk PDRM bermula pada 2013 dan mula beraksi untuk skuad kebangsaan pada Oktober 2018.