‘FAM Apa Yang Kau Buat?’ – Lepas 3 Minggu Baru Nak Tubuh Badan Siasatan

FAM Mesyuarat

Bayangkan jika angkatan tentera sesebuah negara tewas dalam satu peperangan, berapa lama masa yang perlu diambil untuk pemerintah tertinggi melakukan bedah siasat bagi membuat penilaian semula untuk mencari kelemahan dan kesilapan dalam menyusun strategi bagi menghadapi peperangan yang seterusnya?

Jika jarak di antara dua perang itu hanya dalam tempoh sebulan, sudah tentu proses bedah siasat itu perlu dibuat secepat mungkin supaya laporannya boleh dibincangkan secara terperinci untuk merencana strategi baharu.

Kita lihat pula dalam konteks pengurusan skuad bola sepak negara kita yang diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Tiada kesegeraan

Skuad Harimau Malaya telah pun mengakhiri kempen Piala AFF Suzuki 2020 tempoh hari dengan nota kegagalan. Tanggal 19 Disember 2021 menjadi hari terakhir Malaysia beraksi selepas ‘diganyang’ oleh Indonesia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Sehari selepas skuad Malaysia ‘lingkup’ di Singapura, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin telah mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya menerima tanggungjawab sepenuhnya ke atas kegagalan pasukan kebangsaan mara ke peringkat separuh akhir.

Beliau kemudian mendakwa telah mengarahkan pengurusan skuad kebangsaan untuk mengemukakan laporan bedah siasat dan analisis lengkap mengenai prestasi pasukan sepanjang kempen di Singapura ‘dalam masa terdekat’.

Ini bermaksud dari tarikh berkenaan, FAM mempunyai kira-kira 35 hari sebelum kalendar FIFA seterusnya yang dijadualkan pada 24 Januari hingga 1 Februari 2022.

Dalam tempoh itulah mereka sepatutnya menyelesaikan proses bedah siasat, mengeluarkan laporan, memperbaiki kelemahan dan seterusnya menyusun strategi baharu bagi melaksanakan program latihan pusat serta menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa.

Tetapi apa yang dibuat oleh FAM untuk skuad kebangsaan sepanjang tempoh itu?

Lantik pihak luar

Hanya selepas 18 hari iaitu pada 7 Januari 2022, FAM mengumumkan pihaknya telah menubuhkan Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya yang diketuai oleh bekas pemain kebangsaan yang juga merupakan bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan.

Badan Siasatan Bebas Ditubuhkan FAM Untuk Menyiasat Laporan Prestasi Harimau Malaya Di Piala AFF 2020

Langkah ini turut menimbulkan persoalan. Adakah setiap kali skuad kebangsaan berdepan dengan kegagalan dalam mana-mana kejohanan, FAM perlu menubuhkan jawatankuasa siasatan? Tidak cukupkah anggota jawatankuasa FAM yang tidak sedikit itu untuk melakukan bedah siasat dan mengeluarkan laporan?

Jadi bila pula laporan penuh bedah siasat ini akan didedahkan? Satu minggu, dua minggu atau satu bulan? Bila pula FAM akan duduk berbincang bagi memperbaiki kelemahan dan menyusun strategi baharu sebelum kalendar FIFA yang seterusnya pada bulan Januari ini?

Sambung tidur

Persoalan itu terjawab dengan berbalik kepada kenyataan Pengarah Teknikal FAM yang baharu, Scott O’Donell  dalam sidang media pengenalannya tempoh hari.

Beliau mengakui Harimau Malaya akan terus ‘tidur’ kerana pihaknya tidak mengatur sebarang perlawanan persahabatan pada bulan Januari ini atas alasan ‘kekangan masa’.

Tiada Perlawanan Persahabatan, Harimau Malaya Boleh Sambung ‘Tidur’ Bulan Ini

Sedangkan pasukan-pasukan jiran lain di rantau ini masing-masing sudah pun memiliki perancangan rapi bagi mengukuhkan pasukan masing-masing dengan mengatur perlawanan persahabatan.

Kenapa FAM tidak memanfaatkan ruang dan peluang ini untuk menambah baik prestasi skuad kebangsaan? Sedangkan kaledar FIFA yang seterusnya hanya akan kembali bersambung pada hujung Mac, iaitu kurang tiga bulan dari tarikh pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Bukankah tidak cerdik untuk mengatakan FAM tidak mahu mengganggu persiapan pra-musim pasukan, sedangkan ketika saingan liga masih belum bermula inilah waktu terbaik untuk mengumpulkan pemain-pemain terbaik bagi mendapatkan keserasian dan membentuk DNA permainan.

Tetapi inilah realitinya pengurusan FAM yang negara kita ada pada hari ini.

Nota Buat Hamidin: Jika Ada Kemaluan, Letaklah Jawatan

Berbalik kepada situasi di awal artikel ini, sekiranya panglima angkatan tentera diketuai oleh pimpinan tertinggi FAM yang ada pada hari ini, pastinya tidak sukar untuk meramalkan keputusan peperangan seterusnya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN