Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengambil pendekatan memotong gaji pekerjanya secara sementara jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berakhir 14 April 2020 dilanjutkan, susulan penularan wabak pandemik COVID-19.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam, berkata badan induk itu meminta semua kakitangan pentadbiran dan staf teknikal mengambil potongan gaji di antara 10 dan 20 peratus, bergantung kepada gaji masing-masing, sepanjang tempoh krisis ini.
“Urus Setia Agung FAM membuat penilaian dengan hati-hati dan pemahaman yang teliti terhadap impak wabak COVID-19 yang memberi kesan kepada seluruh negara dan juga industri bola sepak tempatan sejurus kita memasuki tempoh kedua PKP selepas 31 Mac lalu.
“Maka itu Urus Setia Agung akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan, termasuk mengenakan potongan gaji sepanjang krisis ini andai PKP dilanjutkan. Ini dipersetujui oleh kakitangan pentadbiran dan teknikal mereka sebagai usaha memastikan kestabilan kewangan FAM dalam menempuh saat-saat sukar ini.
“Keputusan ini dicapai menerusi rundingan atas semangat musyawarah dengan niat yang murni.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua tenaga kerja FAM atas komitmen mereka terhadap organisasi, terutama pada tempoh yang sukar buat semua pihak,” katanya.
Stuart juga menjelaskan keputusan itu merupakan langkah terakhir yang dibuat selepas mengkaji pelbagai aspek dengan Exco badan induk bola sepak tanah air itu dan pengurusan atasan sejak wabak COVID-19 memaksa semua saingan bola sepak tempatan ditangguhkan.
“Seboleh-bolehnya kami ingin mengelak daripada mengambil pendekatan ini tetapi mengambil kira keadaan yang tidak menentu, keputusan ini diambil demi kepentingan semua, termasuk kepentingan FAM selaku satu organisasi,” tambah Stuart.
Kredit foto: Football Assocation of Malaysia