Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui mereka tidak akan campur tangan mengenai hal pemilihan pemain warisan yang akan menyertai pasukan bola sepak Harimau Malaya pada masa akan datang.
Kenyataan itu dikeluarkan sendiri menerusi Datuk Noor Azman Rahman selaku Setiausaha Agung FAM dengan beliau menyatakan keputusan memilih pemain terletak sepenuhnya buat kejurulatihan kebangsaan.
Jelas Azman, segala urusan mengenai pemain warisan Malaysia bakal diuruskan sendiri oleh pengurusan baharu Harimau Malaya sebelum diserap bersama pasukan untuk mengharungi sesi latihan bersama.
Cerita tentang pemain warisan baharu Malaysia bukan lagi suatu yang baharu dalam kalangan peminat selepas beberapa khabar angin menyatakan pengurusan baharu skuad kebangsaan giat mengenal pasti calon terbaik untuk didaftarkan bersama pasukan kebangsaan.
Walaupun begitu, ada juga persoalan ditimbulkan oleh peminat jika isu pemilihan pemain warisan turut mempunyai campur tangan daripada pengurusan tertinggi FAM selain kejurulatihan.
Kata beliau lagi, FAM hanya akan menguruskan dokumentasi pemain sahaja sebaik mereka menerima senarai dipilih oleh jurulatih sendiri bagi didaftarkan bersama Harimau Malaya.
“Kita menyerahkan kepada barisan kejurulatihan untuk menentukan pemain kacukan yang akan dibawa mewakili skuad kebangsaan.
“Setakat ini, tiada lagi pemain kacukan yang berada dalam pengurusan baharu skuad Harimau Malaya. Mungkin dalam proses pencarian kerana mahu yang berkualiti mewakili negara.
“Pada masa sama, sudah pastinya barisan kejurulatihan tidak mahu terburu-buru memilih pemain kacukan kerana perlu mengenal pasti identiti selain turut memenuhi kriteria ditetapkan,” kata Azman menerusi Harian Metro.
Setakat ini, kebanyakan pemain warisan yang mewakili pasukan kebangsaan seperti Dion Cools, Daniel Ting, Stuart Wilkin, serta beberapa nama lagi berjaya memberikan impak positif di pentas antarabangsa.
Sudah tentu para peminat mengharapkan lebih ramai pemain warisan berkualiti dapat didaftarkan bersama Malaysia kerana pasukan kebangsaan memiliki tugas getir untuk sekali lagi melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2027.
Selain pemain warisan, skuad kebangsaan juga dilaporkan bakal mendapat tenaga tambahan daripada beberapa tonggak naturalisasi yang kini sedang diusahakan untuk didaftarkan bersama pasukan Malaysia.
Bawah kendalian jurulatih baharu iaitu Peter Cklamovski, sudah tentu pengharapan penuh diletakkan kepada beliau selepas tugasan cemerlang berjaya dihasilkan oleh bekas pengendali, Kim Pan-gon terdahulu di pentas antarabangsa.