Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengakui hadapi kesukaran untuk mendapatkan sekurangnya dua lawan buat Harimau Malaya untuk dihadapi pada aksi persahabatan walau berada dalam kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Terdahulu, Malaysia hanya akan menghadapi satu sahaja aksi persahabatan Tier 1 pada bulan ini berdepan cabaran New Zealand di gelanggang lawan selepas tiada negara lain dapat memenuhi kehendak skuad kebangsaan.
Menerusi perkongsian lalu dibuat oleh FAM, Harimau Malaya tidak dapat mengharungi satu lagi aksi persahabatan pada bulan Oktober bersama pasukan dari Oceania kerana mereka memiliki komitmen yang sukar dielakkan.
“FAM cuba mendapatkan perlawanan dengan lapan pasukan Oceania, termasuk Kepulauan Solomon, Fiji, Tahiti, New Caledonia, Vanuatu dan Papua New Guinea.
“Walau bagaimanapun, pasukan-pasukan tersebut mempunyai komitmen untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 masing-masing pada 10, 11 dan 12 Oktober,” jelas kenyataan di laman rasmi FAM.
Walaupun begitu, Malaysia dilaporkan bakal menghadapi salah satu kelab tempatan di sana untuk diuji kekuatan semasa dengan ia dikelaskan sebagai perlawanan Tier 2 sahaja.
Tampil segelintir peminat di media sosial yang menganggap Malaysia mungkin tidak dipandang negara lain sehingga sukar untuk mendapatkan lawan persahabatan di pentas antarabangsa.
Namun, Datuk Mohd Yusoff Mahadi selaku Timbalan Presiden FAM tampil menafikan perkara tersebut dengan menganggap saham skuad kebangsaan masih lagi tinggi untuk dipandang negara lain.
Cuma situasi terkini menyaksikan Harimau Malaya terpaksa akur untuk menerima satu sahaja aksi persahabatan bulan ini kerana negara lain dilaporkan masing-masing memiliki komitmen untuk dipenuhi.
“Sampaikan pasukan bawah kita pun sukar, mungkin mereka pun nak buat persediaan yang bersesuaian dengan mereka.
“Kita sentiasa harapkan setiap kali jendela antarabangsa kita akan dapat dua perlawanan, tetapi saya akui kita berdepan kesukaran kerana negara lain ada persiapan sendiri.
“Jadi, kepentingan pasukan mereka mungkin sebabkan kita tidak dapat adakan perlawanan, bukan mereka menolak, tetapi mereka ada komitmen lain,” jelas beliau menerusi Kosmo.
Pada masa sama, Yusoff juga mengakui FAM kini sedang berusaha keras untuk mendapatkan satu lagi aksi persahabatan pada bulan November selain berdepan India.
Pasukan dari benua mana tidak jadi persoalan yang penting ada pasukan yang sedia bermain. Kadang-kadang ada pasukan dari benua lain sanggup datang kalau mereka rasa ada keperluan untuk adakan persahabatan,” kata beliau akhir sekali.
Pada pandangan anda, adakah negara dari benua Asia terus menjadi pilihan terbaik FAM atau tiba giliran negara dari Afrika pula menjadi lawan buat Malaysia?