FAM memuji aksi cemerlang para pemain B-15 setakat ini. Terbaru skuad P. Maniam menewaskan Australia 3-0. Dalam kenyataan media terbaru FAM, mereka menegaskan permainan mantap skuad P. Maniam adalah hasil daripada DNA bola sepak Malaysia yang mereka lancarkan sebelum ini.
Dipetik daripada siaran FAM:
Aksi mantap yang dipamerkan oleh skuad B-15 kebangsaan pada Kejuaraan B-15 AFF 2019 di Chonburi, Thailand yang sedang berlangsung ketika ini adalah hasil adaptasi mereka daripada DNA Bola Sepak Malaysia yang telah dilancarkan bulan lepas oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo memuji prestasi yang dipamerkan anak buah kendalian jurulatih, P. Maniam setelah mereka berjaya menumpaskan skuad B-15 Australia 3-0 petang tadi.
AFF B-15 (Laporan Dan Highlight): Malaysia Mudah Atasi Australia 3-0 – https://t.co/DHBj9FhOpI pic.twitter.com/6mxGBSyrSA
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) August 1, 2019
“Ia merupakan satu perlawanan yang menarik hari ini; pujian harus diberikan kepada ketua jurulatih P. Maniam, para pegawai pasukan dan juga pemain-pemain. Lupakan sebentar tentang keputusan perlawanan, persembahan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain kita terutamanya pada separuh masa pertama sangat memukau.”
“Mereka memulakan rentak permainan dari bahagian bawah, mendominasi penguasaan bola, memberi tekanan kepada pemain lawan, dan juga melakukan peralihan dengan pantas. Skuad B-15 ini menunjukkan prestasi yang baik serta berjaya menyesuaikan diri dengan cara permainan ini,” kata Peter.
Sementara itu, ketua jurulatih skuad B-15 kebangsaan, P. Maniam bersependapat dengan Peter malah menyifatkan aksi anak buahnya pada hari ini amat memberangsangkan.
“Mereka amat bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan hari ini dan berjaya bermain mengikut strategi yang telah disusun oleh barisan kejurulatihan sejajar dengan DNA Bola Sepak Malaysia.
“Mereka turut menunjukkan aksi terbaik di atas padang melalui corak permainan yang menarik. Kami barisan jurulatih amat bangga dengan prestasi yang ditunjukkan oleh para pemain setakat ini,” jelas Maniam.
Walaupun tampil dengan rekod bersih memenangi ketiga-tiga perlawanan setakat ini, Naib Presiden FAM dan Pengurus Pasukan skuad B-15 kebangsaan, Dato’ S. Sivasundaram mengingatkan para pemain untuk lebih fokus dan bermain dengan strategi yang telah disusun rapi oleh barisan jurulatih.
“Pemain-pemain kita bermain dengan amat baik kali ini. Walau bagaimanapun, kita masih di peringkat awal kejohanan ini, jadi kita perlu bertenang dan fokus; bermain mengikut pelan yang telah dirancang,” kata beliau.