FAM Ajak Lebih Ramai Masyarakat Cina kembali Memeriahkan Bola Sepak

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengajak masyarakat Cina untuk menyemarakkan semula penyertaan mereka dalam bola sepak tempatan bagi menawarkan dimensi berbeza terhadap lanskap sedia ada.

Bercakap pada upacara penutup Hari Akar Umbi Bola Sepak Cina yang diadakan di SJK (C) Lai Meng di Bukit Jalil, di sini hari ini, presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, menggesa ibu bapa etnik Cina untuk menjadikan bola sepak sebagai satu opsyen kerjaya anak-anak mereka.

Dengan menjadikan Tan Cheng Hoe, Datuk Ong Kim Swee dan Chiew Chun Yong sebagai antara contoh individu berbangsa Cina yang menikmati kerjaya dalam bola sepak tempatan, Datuk Haji Hamidin menegaskan bola sepak bukan milik satu-satu kaum, bahkan ia bersifat sejagat.

“Bola sepak bukan sekadar permainan rekreasi tetapi bagi mereka yang benar-benar berkebolehan, anda boleh menjadi pemain kebangsaan, bersaing di peringkat serantau, Asia dan satu hari nanti di pentas dunia.

“Anda juga boleh mencuba nasib sebagai jurulatih, pentadbir, instruktur atau pengadil sama ada separuh masa atau sepenuh masa.

“FAM serius mahu kembali meluaskan bola sepak ke semua lapisan masyarakat. Jelas terbukti bola sepak sebagai ejen paling ampuh untuk penyatuan dan perpaduan serta membina negara. ini dapat kita lihat menerusi pasukan kebangsaan pada era 1950-an, 60-an, 70-an dan 80-an serta 90-an.

“Dengan kerjasama ibu bapa dan seluruh masyarakat Cina dan bukan Melayu amnya, mari kita kembalikan senario gemilang itu.
“Kuncinya di tangan anda. FAM hanya sebagai pemudahcara,” katanya.

Datuk Haji Hamidin menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Exco FAM, ACP (B) Md Dali Wahid pada penutup program itu yang membabitkan hampir 200 murid berusia di antara 6 dan 12 tahun serta 22 jurulatih akar umbi dari enam sekolah sekitar Petaling Jaya dan Puchong.

Hari Akar Umbi Bola Sepak Cina itu susulan kepada kejayaan kursus kejurulatihan akar umbi FAM anjuran Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) Oktober lalu.

Program berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif FAM untuk memastikan bola sepak merentas sempadan bangsa dan agama.

Tambah Datuk Haji Hamidin:

“FAM mulakan dengan sekolah ini sebagai usaha berterusan menggalakkan penyertaan lebih ramai kanak-kanak dari semua bangsa bermain bola sepak.

“Selain mendekat murid di sekolah jenis kebangsaan, FAM akan bekerjasama dengan kelab-kelab persendirian dan swasta yang disertai ramai pemain dari pelbagai bangsa.

“FAM mahu menimbulkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa khususnya masyarakat etnik Cina bahawa bola sepak boleh memberi jaminan masa depan anak-anak mereka.”

“Tanpa etika kerja, kebijaksanaan dan kerajinan pemain berketurunan Cina dalam industri bola sepak tempatan, negara mengalami kerugian.

“Ada satu kekosongan yang FAM tidak isi. ada dimensi berbeza yang dahulunya mewarnai pasukan kebangsaan tidak lagi menjadi senjata. Saya percaya inilah komponen yang hilang yang harus dikembalikan.”

Program akar umbi itu membabitkan enam sekolah iaitu SJK (C) Lai Meng, Bukit Jalil, SJK (C) Yuk Chai, Petaling Jaya, SJK (C) Yak Chee, Puchong, SJK (C) Han Ming, Puchong, SJK (C) La Salle, Kuala Lumpur dan SJK (C) Yoke Nam, Kuala Lumpur.

Turut hadir Presiden Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA), Dato’ Jeffery Low Han Chau yang juga Exco FAM, jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe, jurulatih Bawah 22 tahun, Datuk Ong Kim Swee dan pemain kebangsaan, Dominic Tan.

Cheng Hoe menegaskan beliau memilih pemain berasaskan merit tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.

“Saya mahukan pemain terbaik tanpa mengira latar belakang dia dan saya akan pilih selagi dia berhak bermain.

“Industri bola sepak ini juga besar dan mana-mana individu boleh memasang impian untuk sama ada bermain atau menjadi pentadbir, pengadil atau pegawai,” kata Cheng Hoe.

Bagi Kim Swee, bola sepak profesional menawarkan peluang kepada individu untuk mengubah hidup di dalam dan luar padang.

“Bola sepak akan mengubah individu menjadi lebih baik, sama ada dia bermain secara profesional atau tidak,” kata Kim Swee.

Menelusuri sejarah sumbangan kaum Cina dalam bola sepak tempatan, Datuk Haji Hamidin menyenaraikan beberapa nama yang meninggalkan legasi dalam meletakkan asas-asas kejayaan kepada bola sepak tempatan.

Beliau menamakan antara lain Datuk Kwok Kin Keng yang berkhidmat hampir tiga dekad selaku setiausaha FAM, mendiang Lim Kee Siong yang menjadi individu pertama Malaysia dilantik selaku ahli jawatankuasa eksekutif FIFA.

Choo Seng Quee yang menjadi jurulatih pertama bergaji untuk Persekutuan Tanah Melayu sebagai antara tokoh berbangsa Cina yang cukup berjasa kepada negara.

Dalam kalangan pemain, setelah Datuk Soh Chin Aun, Wong Kam Fook, Lim Fung Kee, Wong Choon Wah dan Looi Loon Teck beraksi di Sukan Olimpik 1972, disusuli Chin Aun dan James Wong yang menganggotai skuad 1980, skuad bimbingan Chow Kwai Lam yang digelar Barcelona Babes pada 1991-1992 menampilkan antara lain Kim Swee, Yap Wai Loon, Chong Kim Boon dan Lee Thean Ewe.

Malangnya statistik pada tahun 2000 menunjukkan bahawa peratusan pemain berketurunan Cina merosot mendadak, apabila hanya ada 0.7 peratus atau dua sahaja pemain Cina daripada 292 pemain berdaftar dengan akademi seluruh negara di bawah pemantauan FAM.

Datuk Haji Hamidin turut memuji MCFA yang giat menganjurkan banyak kejohanan bertujuan menyemarakkan minat terhadap bola sepak.

“Matlamat utama FAM tentu sekali membariskan anak-anak Malaysia yang memberi gambaran sebenar masyakarat majmuk kebanggaan negara,” katanya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN